Labur sebanyak RM80 juta untuk bina kilang pemprosesan Vitamin E di Kuantan Integrated Biopark.
Pelaburan tersebut selari dengan strategi pertumbuhan FGV untuk menjadi salah sebuah firma agrobisnes terbesar dunia menjelang 2020
KUALA LUMPUR, 17 November 2014

Felda Global Ventures Downstream Sdn. Bhd. (FGVD), anak syarikat milik penuh Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) merancang melabur sebanyak RM80 juta bagi membangunkan kilang pemprosesan Vitamin E, di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Perjanjian pelaburan berkenaan telah diumumkan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) sambil disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, di sini hari ini.

Pengerusi FGV, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata, pelaburan berkenaan melibatkan pembelian tanah seluas tiga ekar dan pembinaan kilang pemprosesan di Kuantan Integrated Biopark, Pahang.

Proses pembinaan kilang dijangka bermula sebaik sahaja urusan pengambilalihan tanah selesai dan dijadualkan siap sepenuhnya pada tahun 2016.

“Kilang berkenaan mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 75,000 kilogram setahun dalam tempoh tiga tahun pertama operasinya,” katanya.

Kilang terbaharu berkenaan bakal menggunakan teknologi mesra alam terkini serta menjalankan penyelidikan dan pembangunan secara berterusan bagi memastikan operasinya menepati piawaian persekitaran yang mapan.

Menurut Mohd Isa, pelaburan tersebut akan membantu mewujudkan peluang pekerjaan baharu kepada penduduk tempatan dan FGVD juga akan merangka program pembangunan tenaga kerja mahir untuk kakitangan yang terlibat.

*** tamat ***

Find