Minat dan kecintaan mendalam pada ladang yang sudah diusahakannya sejak lebih 30 tahun lalu, menjadi pendorong untuk Mahidin Mat Saad terus memerah keringat di bawah terik mentari, meskipun usianya sudah mencecah lebih separuh abad.
Mahidin, 52, bertugas sebagai Penolong Pengurus di Chuping Agro Valley di Perlis sejak April 2021, selepas FGV Holdings Berhad (FGV) mengambil alih ladang tanaman dan buah-buahan seluas 4,400 hektar itu pada 2020.
Namun, jodoh anak jati Perlis itu dengan ladang berkenaan sebenarnya sudah bermula seawal 1990, di mana beliau terbabit secara langsung dalam menjaga dan memastikan kualiti hasil tanaman di ladang itu seperti tebu, harum manis dan sawit, dalam kedaan terbaik.
Bagaimanapun, kata Mahidin, dalam tempoh tiga tahun sebelum FGV mengambil alih hak milik, ladang itu terbiar hingga dinaiki semak-samun dan bertukar menjadi berikutan semua pekerja ladang, termasuk Mahidin, terpaksa dilepaskan.
“Selama lebih kurang tiga tahun, saya menyaksikan ladang yang sudah saya usahakan sejak puluhan tahun dinaiki semak-samun.
“Sebaik saja dimaklumkan bahawa FGV sedang mencari pekerja untuk ladang itu selepas ia diambil alih, saya tidak berfikir panjang dan terus memohon kerana saya ingin melihat ladang ini menjadi lebih baik berbanding dahulu,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.
Di bawah perancangan terkini, FGV serta anak syarikat senaraian awamnya, MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM), bakal membangun dan mentransformasi Chuping Agro Valley menjadi kawasan pertanian baharu yang dinamakan Lembah Makanan Agro FGV.
Pembangunan bersepadu bagi tanah seluar 4,400 hektar itu menyasarkan penanaman hasil alternatif berkualiti tinggi di dalam empat sektor makanan agro utama termasuk ubi kayu bagi penghasilan kanji, nenas premium MD2, mangga harum manis dan pengeluaran makanan ternakan berasaskan produk sampingan kanji dan biomas ubi kayu.
Mahidin mengakui berdepan tugas sukar untuk membangunkan semula tanah itu yang sudah bertukar menjadi belukar, dan terpaksa bermula semula dengan membersihkan ladang itu secara berdua bersama pengurus ladang, sebelum pekerja di ladang itu bertambah kepada 88 orang ketika ini.
Antara cabaran dilaluinya untuk membuka semula ladang itu adalah apabila segelintir pekerja baharu tidak sanggup bertahan dengan realiti bekerja di ladang, di mana mereka terpaksa bekerja di bawah terik matahari dan berhujan selama beberapa jam setiap hari.
“Memang bukan senang untuk bekerja dalam keadaan cuaca yang panas dalam tempoh masa yang panjang. Itulah kebiasaan sebagai pekerja ladang, berhujan dan panas.
“Selain itu, kebanyakan pekerja baharu tiada berpengalaman dan kurang mahir mengenai tanaman itu sendiri seperti harum manis dan sawit,” katanya.
Enggan mengalah dengan situasi itu, Mahidin menampilkan tahap kepimpinan yang tinggi apabila beliau sendiri sanggup turun ke lapangan hampir setiap hari bagi menunjuk ajar secara hands-on dan memberi kata-kata semangat kepada pekerjanya.
Bapa kepada tiga anak itu memahami kesukaran dialami pekerja baharu, memandangkan Mahidin sendiri bermula daripada bawah dan pernah berdepan situasi sama ketika mula-mula menceburkan diri dalam sektor ladang lebih 30 tahun lalu.
“Sebab itu saya tidak putus melontarkan kata-kata semangat kepada mereka serta sentiasa memberi kursus dan tunjuk ajar berdasarkan pengalaman saya selama ini.
“Antara pesanan yang kerap saya sampaikan pada mereka ialah anggaplah ini ladang kita sendiri, barulah kita akan menjaga ladang ini secara bersungguh-sungguh dan seikhlas hati.
“Buat generasi muda di luar sana, nasihat saya apabila bekerja, bekerjalah dengan tekun dan ikhlas kerana pada zaman sekarang untuk mencari pekerjaan adalah tidak mudah,” katanya, yang menitik beratkan aspek kerjasama dalam usaha membangunkan ladang berkenaan.