Siti Nur’Ain Syahirah Hamdan telah bekerja di FGV selama 6 tahun. Memulakan kerjayanya di FGV sebagai pegawai Media dan Digital Media, Ain masih mengingati detik-detik ketika ditemuduga oleh barisan pimpinan tertinggi FGV.

“Sewaktu temu duga pada 2016, mereka bertanya apa perubahan yang saya boleh lakukan untuk syarikat.
“Saya maklumkan idea untuk membawa FGV memasuki dunia media sosial dan digital,” katanya.

Tambah Ain lagi, dunia digital khususnya media sosial berjaya mendekatkan FGV, khususnya SAJI dengan pengguna.

“Kita dapat berinteraksi dengan pengguna melalui mesej langsung (DM), komen dan sebagainya, yang membolehkan kita baiki kekurangan dan beri apa yang pengguna mahukan,” katanya.

Selain itu, menurut Ain disebabkan media sosial juga, jenama SAJI menjadi tular melalui video raya “Mangkuk Tingkat Mak Teh”.

“Mangkuk Tingkat Mak Teh bukan sahaja tular di Malaysia tetapi juga di Singapura dan Indonesia, kerana penonton menyukai jalan cerita yang dipaparkan, apatah lagi apabila ianya diinspirasikan daripada kisah benar,” katanya.

Setakat ini, video raya SAJI, Mangkuk Tingkat Mak Teh telah mencatat lebih 2.7 juta tontonan di Youtube, manakala iklan raya SAJI tahun ini, Raya Dulu-dulu, menerima lebih 2.1 juta tontonan di laman penstriman video itu.

Disebalik kejayaan merealisasikan perubahan digital di FGV, Ain turut berdepan beberapa cabaran antaranya perlu meyakinkan pihak atasan mengenai kepentingan media sosial, yang pada ketika itu masih belum digunakan secara meluas di Malaysia.

“Ketika pertukaran pimpinan atasan, saya perlu kembali meyakinkan mereka kenapa kita perlu ada akaun media sosial sebagai medium untuk mendengar dan mendekati pengguna,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengapa memilih untuk bekerja dengan FGV, Ain mengakui sudah lama memasang angan impian untuk berkerja di syarikat itu, seperti yang di hasratkan ibunya.

“Setiap kali lalu di Jalan Tun Razak ketika zaman belajar dahulu, ibu sering membakar semangat saya dengan meminta saya bekerja di Menara Felda dan akhirnya ia menjadi kenyataan.”