7 Jun 2023

SHAH ALAM, 7 JUN 2023 – FGV Holdings Berhad (FGV) menerusi anak syarikatnya Felda Travel Sdn Bhd (Felda Travel) mengambil inisiatif proaktif dengan menyediakan modul khas bagi 311 orang jemaah hajinya di Tanah Suci.

Jemaah Haji Felda Travel kelihatan khusyuk mendengar penerangan yang diberikan ketika di Majlis Taklimat Haji Perdana

Tidak hanya tertumpu kepada aspek pengisian ibadah haji, modul baharu ini ditambahbaik dengan elemen emosi, minda dan kerohanian. Selain urusan bimbingan dan pandu arah kepada jemaah haji, Felda Travel turut menyediakan perkhidmatan sokongan dan nasihat untuk jemaah haji sepanjang tempoh ibadah mereka di Tanah Suci.

Dua pakar motivasi yang cukup berpengalaman iaitu Ustaz Pahrol Mohamad Juoi dan Ustaz Naseb Zawawi dilantik pihak Felda Travel bagi sokongan khidmat nasihat bagi jemaah haji seperti isu gangguan emosi, ketidakserasian, masalah komunikasi dan lain-lain. 

Pengarah Bahagian Logistik dan Perniagaan Sokongan FGV, Fakhrunniam Othman berkata, “Kami sentiasa mencari peluang untuk penambahbaikan perkhidmatan kami untuk pelanggan-pelanggan kami, terutamanya keperluan dan kebajikan para jemaah haji kami. Selain khidmat pengurusan ibadah haji, Felda Travel mengambil serius akan persediaan rapi dari sudut kesihatan emosi, minda, rohani dan juga kepimpinan. Modul baharu ini dirangka bagi memastikan ketenangan dan keselesaan para jemaah demi kelancaran ibadah mereka.”

Encik Fakhrunniam Othman, Pengarah Bahagian Logistik dan Perniagaan Sokongan FGV menyampaikan ucapan ketika majlis berlangsung

Tahun ini, kesemua 311 orang bakal haji akan diiringi oleh tujuh orang petugas yang diketuai Amirul Hadi Azlan, Ketua Pegawai Eksekutif Felda Travel selaku Ketua Rombongan Haji.

Majlis Taklimat Haji Perdana di Hotel Mardhiyah, Shah Alam yang berlangsung sepanjang dua hari yang bermula pada 3 Jun 2023 merupakan salah satu persiapan akhir bakal haji untuk memantapkan lagi pemahaman mengenai ibadah mereka, di samping pendedahan dari segi teori dan amali.

Turut diadakan simulasi tawaf, sa’ie umrah dan haji serta tahallul ketika Majlis Taklimat Haji Perdana

Penerbangan pertama bagi rombongan haji di bawah Felda Travel akan mula berangkat pada 12 Jun ini, diikuti oleh dua penerbangan pada 13 Jun, dan yang terakhir pada 18 Jun 2023.

Dengan berbekalkan pengalaman perkhidmatan haji sejak tahun 2007, Felda Travel telah menguruskan kira-kira 3,000 jemaah haji dan terus komited untuk memberikan perkhidmatan serta layanan yang terbaik.

Hazeri Abdul Hamid, 61 melahirkan rasa syukur gembira kerana berpeluang mengerjakan ibadah haji pada kali ini serta berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan oleh Felda Travel termasuk servis serta kemudahan yang membantu golongan kurang upaya yang menggunakan kerusi roda seperti beliau. 

Encik Amirul Hadi Azlan, Ketua Pegawai Eksekutif Felda Travel menyantuni para jemaah ketika majlis taklimat berlangsung

Normimi Hanum Mohd Annuar, 62 berkata beliau menerima banyak maklum balas positif berkenaan perkhidmatan serta tawaran yang disediakan oleh Felda Travel. Oleh itu beliau memilih Felda Travel kerana servis yang disediakan dapat memenuhi keperluan serta kehendaknya.  

Dalam pada itu, Che Gayah Ahmad, 65 berkata ini merupakan suatu impian yang menjadi kenyataan apabila dapat menunaikan ibadah haji bersama Felda Travel. 

TAMAT

Find