En Zaaba sebagai Pengerusi Masjid Jamek Kompleks PPPTR (Gambar diambil sebelum Perintah Kawalan Pergerakan)

Kenangan sewaktu pertama kali menjejakkan kaki di bumi Jerantut kira-kira 40 tahun lalu masih segar di ingatan anak kelahiran Taiping, Perak ini. Zaaba Yahya ketika itu berusia 19 tahun berhijrah meninggalkan keluarga untuk ke bumi Pahang bagi memulakan kerjaya di dalam sektor perladangan.

Zaaba yang kini merupakan Pengurus Kanan di Jabatan Tanaman Pelbagai serta pentadbiran, FGV Agri Services Sdn Bhd (FGVAS), Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak (PPPTR), tidak dapat melupakan pengalaman pertamanya menempuh perjalanan yang sukar dan panjang untuk melapor diri ke ladang FELDA.

“Setelah 14 tahun menimba pengalaman di ladang-ladang FELDA di sekitar Jerantut, saya berpindah khidmat ke PPPTR di bawah Felda Agricultural Services Sdn Bhd (FASSB) yang dahulunya di kenali sebagai Perbadanan Khidmat Pertanian Felda.

“Meskipun bermula dari bawah, namun kepercayaan syarikat dalam memberi saya peluang untuk melangkah jauh membuatkan saya lebih bersemangat untuk terus memberi nilai tambah kepada syarikat dan juga masyarakat setempat selagi diizinkanNya,” ujar Zaaba yang pernah menerima anugerah ‘Pengurus Terbaik 2016’ bagi Kluster R&D dan Khidmat Agri.

Terkenal di kalangan komuniti PPPTR sebagai seorang yang aktif dalam kegiatan kemasyarakatan di samping seorang yang tenang dan mesra di kalangan rakan sekerja, Zaaba sentiasa menjadikan tugasan beliau sebagai ibadah yang perlu dijalankan dengan sebaiknya. Beliau yang juga Pengerusi Masjid Jamek Kompleks PPPTR amat komited menguruskan masjid tersebut di samping menjalankan aktiviti kemasyarakatan.

“Kompleks PPPTR ini sering menerima kunjungan pelawat yang berminat mengetahui tentang penyelidikan sawit dan pelbagai tanaman. Kami akan turut melibatkan masyarakat setempat apabila melaksanakan sesuatu majlis.

“Tidak susah untuk kami mengendalikannya kerana mendapat kerjasama yang baik di antara pihak pengurusan FGV dan masyarakat setempat. Hubungan erat ini membolehkan kami membangunkan kawasan ini sebaik mungkin di samping dapat memelihara keselamatan secara bersama,” tambah beliau.

Zaaba turut mendoakan agar Kumpulan FGV akan terus maju dan berjaya mendepani cabaran getir ketika ini. “Saya berharap agar semua pelapis baharu terutamanya golongan muda dapat memahami dengan sebaiknya aspirasi perniagaan kita, bersama mendepani segala cabaran dan seterusnya menyumbang kepada kemajuan FGV di masa hadapan,” tambah beli au.

Tamat