Bergelumang dengan minyak hitam, kotor dan keringat bukanlah perkara asing bagi seorang yang boleh digelar ‘Doktor Enjin’ ini. Kepakarannya sentiasa ditagih, dan beliau sedia berkhidmat pada bila-bila masa yang diperlukan tidak kira siang mahupun malam. Begitulah gambaran kerjaya yang dilalui oleh pilihan ‘Wira FGV’ kali ini, Rohaizam Mohammed.

Memulakan tugas pada Ogos 2003, beliau ketika itu hanyalah seorang pelatih mekanik di Felda Transport Services Sdn Bhd (kini FGV Transport) depot Serting, Negeri Sembilan. Namun, pengalaman berharga yang diraih selama 17 tahun berkhidmat di dalam Kumpulan FGV ini banyak membantu mengembangkan lagi minat dan kemahiran beliau dalam bidang automotif. Menurut Rohaizam, kerjaya sebagai seorang mekanik sememangnya memerlukan minat dan kesungguhan yang tinggi. Selain menuntut komitmen yang besar, bidang ini juga memerlukan ketelitian dalam menjalankan tugasan kerana sebarang kesilapan yang dilakukan mampu mengundang padah dan menjejaskan keselamatan orang lain.

“Apabila melibatkan nyawa dan harta syarikat, kita perlulah berkerja dengan sebaik mungkin bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini berlaku, contohnya seperti kejadian brek yang gagal berfungsi dengan baik. Ini tentunya menjejaskan keselamatan pengguna jalanraya yang lain, pemandu, dan juga barangan pelanggan yang dibawa. Tanpa minat, tidak mungkin seseorang itu mampu menggalas tugas dengan baik dan bertahan lama di dalam kerjaya ini”, kata Rohaizam.

Menyentuh rutin beliau di bengkel, tugasan harian akan dimulai dengan taklimat ringkas bersama dengan rakan-rakan lain sebelum agihan tugas mula diberikan. Ini bagi memastikan setiap aspek pekerjaan dapat dijalankan mengikut keutamaan yang diberi. Ini termasuk membaik pulih kenderaan-kenderaan yang rosak agar ‘waktu rosak’ (down time) di bengkel dapat dikurangkan bagi memastikan operasi harian pengangkutan FGV tidak terjejas.

Selain itu, tugas-tugas penyelenggaran kenderaan secara berjadual juga dilakukan pada masa yang ditetapkan agar kenderaan-kenderaan ini dapat berfungsi dengan baik dan lancar seterusnya dapat membantu syarikat menjimatkan kos penggantian alat ganti yang mahal. Kecekapan seorang mekanik di FGV Transport amat berharga sekali. Kini, Rohaizam bukan sahaja mampu membaik pulih pelbagai jenis model lori, tetapi beliau juga mahir mengendalikan diagnosis berkomputer bagi lori-lori Volvo FGV yang dikendalikan di pusat servis utama Volvo di Shah Alam.

“Pengalaman berharga saya ialah ketika diminta oleh syarikat untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran yang ada bersama dengan rakan-rakan di FGV Transport Sahabat, terutamanya aspek pengendalian diagnosis berkomputer serta pembaikan pelbagai jenis model kenderaan lori Volvo”, jelas beliau yang kini menjawat jawatan sebagai Ketua Mekanik di FGV Transport, Pelabuhan Kelang.

Beliau turut berharap agar Kumpulan FGV khususnya FGV Transport dapat meningkatkan lagi penggunaan teknologi baharu dalam sektor pengangkutan pada masa akan datang. Ini bagi memastikan Kumpulan FGV tidak ketinggalan dalam penggunaan aplikasi terkini di samping membolehkan para petugas menambahkan lagi kemahiran baharu mereka menerusi siri latihan yang bakal dihadiri.

Tamat