Dr Gideon Tan mendapat biasiswa penuh daripada Felda pada tahun 2006.

Mula berkhidmat di FGV pada tahun 2012, pemegang sarjana kejuruteraan mekanikal itu telah berkhidmat di beberapa jabatan yang berbeza dalam tempoh 10 tahun.

Setelah berkhidmat di Jabatan Hiliran FGV, Gideon, 34, mula berminat dengan industri sawit, khususnya pokok kelapa sawit. Ini adalah kerana beliau sedar bahawa pokok kelapa sawit bukan sahaja membawa manfaat kepada individu, malah masyarakat dan juga negara.

Bermula dengan mendidik serta berkongsi maklumat bersama rakan serta saudara terdekat, Gideon mula bercita-cita untuk mendidik lebih ramai orang mengenai sawit.

Lantas beliau mengambil pendekatan melukis komik berkaitan kelapa sawit dan berhasrat bagi menerbitkan sebuah komik mengenai sawit agar pelbagai maklumat mengenai kelapa sawit dapat dikongsi bersama orang ramai.

“Saya mula melukis untuk menyampaikan maklumat kepada rakan sekerja dan pengurusan atasan dan saya tak menyangka bahawa ia menerima sambutan yang sangat baik,” kata Gideon.

“Ini mencetuskan idea untuk mula melukis komik tentang kebaikan dan maklumat kelapa sawit supaya ia mudah difahami oleh lebih ramai orang.”

Bagi merealisasikan hasratnya untuk menyebarkan kesedaran mengenai kebaikan sawit kepada masyarakat, khususnya generasi muda, anak kelahiran Muar, Johor itu menyasarkan untuk menerbitkan komik berkaitan kebaikan kelapa sawit hujung tahun ini.