Ramzan Dollah adalah nama yang tidak asing lagi bagi warga kerja di Kilang Sawit Bukit Sagu, Pahang. Beliau sememangnya terkenal dengan kepakaran menilai kualiti tandan buah segar yang dihantar oleh para pembekal ke kilang sawit milik FGV.
Bertugas sebagai Penyelia Kualiti Kawasan (AQS) atau lebih sinonim dengan panggilan ‘Ketua Grader’ di kalangan kebanyakan petugas kilang sawit, peranan yang dimainkan bersama pasukannya amat penting memandangkan merekalah yang bertanggungjawab memastikan hanya buah yang masak dan menepati spesifikasi tertentu sahaja akan dibeli oleh kilang daripada pihak pembekal.
“Kualiti buah yang menepati spesifikasi adalah penting bagi membolehkan pihak kilang memperolehi hasil kadar perahan minyak (OER) yang diharapkan. Oleh itu, penggredan secara teliti perlu dibuat bagi mengelakkan kerugian di pihak FGV seterusnya menjamin kualiti buah yang diterima untuk diproses,” jelas Ramzan.
Dengan purata sekitar 1,000 tan sehari bagi kerja-kerja penggredan, ia bukanlah sesuatu yang mudah lebih-lebih lagi bekerja di bawah sinaran terik matahari. Pekerjaan ini memerlukan latihan yang khusus dan perlu diperakui oleh pihak yang berwajib seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sebelum disah dan diberikan kuasa sebagai Pemeriksa Kualiti Kilang.
Ramzan telah berkhidmat hampir 30 tahun dengan Kumpulan FGV. Anak jati kelahiran Raub, Pahang ini menjelaskan beliau berasa bangga kerana dapat menyumbang sesuatu yang bermakna kepada syarikat. Ini kerana menerusi ketelitian mereka inilah yang akan menentukan keuntungan atau kerugian syarikat. Sudah tentunya ia adalah tugas yang tidak boleh dilakukan secara sambil lewa.
Selain perlu menggalas tugas tersebut sebaik mungkin, Ramzan juga sentiasa mengingatkan petugas di bawah seliaannya untuk sentiasa fokus, amanah, jujur dan berintegriti di dalam pekerjaan mereka.
“Bertugas sebagai ‘grader’ memerlukan integriti yang tinggi kerana kita sentiasa berhadapan dengan pelbagai bentuk cabaran khususnya pihak-pihak yang cuba ‘membeli’ kita agar buah yang tidak menepati spesifikasi dibeli oleh kilang. Di sinilah tahap integriti kita diuji dan sekiranya kita sentiasa amanah, perkara ini dapat dihindarkan selain menjamin keberkatan rezeki yang dicari,” ujar beliau.
Mengambil kata-kata perangsang yang diberikan oleh GCEO baru-baru ini, “masing-masing mempunyai peranan yang tersendiri dalam menyumbang kepada kemajuan dan kejayaan syarikat di masa hadapan terutamanya di dalam usaha kita untuk ‘memerdekakan’ diri kita daripada kemelut lampau. Semoga kejayaan sentiasa mengiringi usaha murni kita di masa-masa akan datang”, mengakhiri bicara.
Tamat