Sifat belas kasihan dan kebaikan yang ditonjolkan oleh En. Hisham Salleh dalam insiden kemalangan yang dihadapi beliau baru-baru ini telah memberikan inspirasi dan pengajaran bermakna bukan sahaja kepada warga FGV, malah kepada seluruh rakyat Malaysia.

Pada hari kejadian, beliau seperti pada hari-hari lain memandu kenderaan beliau melalui lebuhraya DUKE bypass Jalan Genting Klang untuk ke pejabat Wisma FGV di mana beliau bertugas sebagai Eksekutif Kanan Jabatan Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar. Malang tidak berbau, tanpa disedari sebuah motosikal yang ditunggangi dua orang warga asing telah merempuh kenderaan beliau di sisi kanan pintu belakang sehingga menyebabkan kedua-dua penunggang motosikal terjatuh di tengah-tengah kesibukan jalan raya.

Daripada bertindak menyalahi dan memarahi penunggang berkenaan, En. Hisham yang terkenal dengan jolokan ‘Abang Selamat’ ini sebaliknya memilih untuk memberi pertolongan sewajarnya. Beliau telah membantu memapah penunggang motosikal tersebut ke bahagian kiri jalan raya untuk memastikan keselamatan semua pihak terlibat. Bukan itu sahaja, berbekalkan pengalaman beliau sebagai ahli Emergency Response Team En. Hisham turut memberi bantuan kecemasan awal dengan merawat kecederaan penunggang.

Tindakan beliau telah tular di laman sosial dan diterbitkan di beberapa akhbar tempatan dan dijulang sebagai wira oleh rakyat Malaysia. Namun begitu, beliau dengan merendah diri berasakan beliau tidak layak mendapat pujian sebegitu rupa dan menganggap tindakan tersebut merupakan tindakan wajar yang perlu diambil oleh sesiapapun jika berhadapan dengan situasi sama sepertinya.

“Sekiranya terlibat dalam kemalangan sedemikian, kita seharusnya bersikap lebih rasional dan memikirkan kepentingan nyawa yang terlibat terlebih dahulu tanpa mengira kesalahan sesiapa. Ini adalah kerana nyawa amatlah berharga berbanding kenderaan yang masih boleh dibaiki,” kata beliau mengakhiri wawancara.

Syabas diucapkan kepada En. Hisham Salleh @ Abang Selamat FGV! Inilah sebahagian kisah warga FGV yang bukan sahaja menjadi inspirasi kepada warganya malah sikap prihatin yang ditunjukkan ini seiring dengan nilai-nilai murni yang diterapkan di FGV menerusi P.R.I.D.E untuk diamalkan dimana jua kita berada.