KUALA LUMPUR, 25 November 2014

Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), menerusi konvoi motosikal badan amalnya telah menyampaikan sumbangan zakat sebanyak RM200,000 kepada golongan asnaf di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Program berkenaan merupakan siri ketiga misi sumbangan Tabung Zakat FGV pada tahun ini dan telah disampaikan melalui program konvoi amal iaitu Skuad Motosikal 1Musolla (SM1M).

Konvoi berkenaan disertai 61 kakitangan FGV dan melibatkan 34 buah motosikal berkuasa tinggi, sebuah van, dua buah pacuan empat roda serta dua buah kereta peronda polis bantuan.

Ketua Pegawai Kewangan FGV, merangkap Pengerusi Tabung Zakat FGV, Ahmad Tifli Mohd Talha, berkata, misi sumbangan zakat berkenaan bertujuan untuk membantu dan mendekati golongan asnaf di sekitar Kuala Terengganu.

“Penerima terdiri daripada golongan kurang berkemampuan dan orang kelainan upaya (OKU). Sumbangan yang diberikan termasuklah bantuan sara hidup, membaiki rumah serta sumbangan untuk surau dan masjid.

“Menerusi konvoi ini, FGV bukan sahaja meringankan beban golongan asnaf malahan membantu mengeratkan hubungan silaturahim antara kakitangan dengan penduduk tempatan,” katanya.

Selain menziarahi golongan asnaf, peserta konvoi turut beramah mesra dengan penduduk setempat dan meraikan kanak-kanak di FELDA New Zealand dengan aktiviti bermotosikal.

Pada siri konvoi amal sebelum ini, SM1M telah menjelajah Janda Baik, Bentong, Perkampungan Orang Asli Hotspring Sungai Klah, Baluk, Sungai Tekam, Seremban, Kukup dan sekitar Perlis serta Pulau Pinang.

Konvoi amal berkenaan menyasarkan masyarakat yang memerlukan bantuan di luar tanah rancangan .

Keseluruhan bagi tahun ini, FGV telah mengeluarkan zakat sebanyak RM8.6 juta untuk diagihkan kepada golongan asnaf di seluruh negara.

*** tamat ***

Find