Beliau antara insan yang bertanggungjawab memastikan aspek keselesaan, keselamatan dan aduan daripada semua penghuni di Wisma FGV diberikan perhatian sewajarnya. Bertugas di Jabatan Pengurusan Fasiliti (FMD) Wisma FGV selama hampir dua tahun, ‘Wira FGV’ kali ini Mohd Zahir Zubir memiliki komitmen yang tinggi dalam memastikan operasi harian di bangunan berjalan dengan lancar.

Menurut Zahir, rutin kerja beliau sentiasa penuh dan sibuk setiap hari. Seawal tiba di pejabat, beliau akan turun membantu rakan-rakan lain di unit keselamatan untuk mengawal selia pergerakan masuk petugas-petugas ke Wisma FGV.

“Memandangkan negara ketika ini masih lagi berada di dalam fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN), saya serta rakan-rakan akan memastikan semua petugas yang hadir di pejabat mematuhi peraturan dan SOP yang telah ditetapkan. Ini penting bagi melindungi bukan sahaja diri sendiri malah mereka yang lain juga,” ujar bapa kepada lapan cahaya mata ini.

Selesai tugasan di lobi Wisma FGV, Zahir akan memeriksa samada aduan-aduan yang diterima oleh pelanggan (petugas FGV) telah diambil tindakan atau sebaliknya.

“Ini sangat penting kerana jabatan FMD perlu memastikan tugasan harian petugas-petugas kita di bangunan ini tidak terganggu oleh masalah-masalah teknikal, antaranya seperti kerosakan lampu dan sistem pendawaian elektrik.

Selain itu, FMD juga mengendalikan aspek pengubahsuaian pejabat serta menguruskan pemasangan peralatan dan kemudahan pejabat berdasarkan keperluan semasa syarikat atau jabatan. Bagaimanapun, jika ianya melibatkan kawasan kegunaan bersama seperti kemudahan lif, tandas, serta ruang parkir dalam bangunan, pihak kami akan memajukan sebarang aduan kepada pihak pengurusan pemilik bangunan iaitu DZ Angkasa untuk tindakan susulan,” kata Zahir yang kini hampir 20 tahun berkhidmat di Kumpulan FGV.

Menurut beliau, kerjaya sebagai ‘penjaga bangunan’ ini bukanlah sesuatu yang mudah dan boleh diambil sambil lewa. Ia juga turut menuntut petugas di jabatan ini untuk sentiasa mengutamakan keperluan pelanggan.

“Ada kalanya kita juga bekerja dalam tempoh masa yang panjang termasuklah pada waktu cuti rehat. Ini kerana, ada kerja-kerja perlu dilaksanakan di luar waktu puncak bagi mengelakkan gangguan bunyi yang ketara kepada petugas lain terutamanya kerja pengubahsuaian ruang pejabat,” jelas Zahir, sebarang kegagalan mengurus aduan tugasan hanya mengundang persepsi negatif terhadap kemampuan FMD dalam mengendali sesuatu perkara.

Menyentuh tentang perkhidmatan beliau di FGV, Zahir berkata syarikat ini merupakan syarikat pertama beliau selepas menamatkan kursus latihan kemahiran di Pusat Latihan Trolak, Perak dalam bidang multimedia yang juga merupakan kursus di bawah anjuran FELDA dan FGV Prodata ketika itu.

Beliau bersyukur kerana diberikan peluang untuk berkhidmat di Kumpulan FGV menerusi FGV Prodata selama 16 tahun yang lalu sebelum berpindah ke Bahagian Modal Insan Kumpulan selama setahun dan anak syarikat Delima Oil Products Sdn Bhd (DOPSB) di Pasir Gudang selama dua tahun.

“Pengalaman bekerja di DOPSB Pasir Gudang antara kenangan yang tidak dapat saya lupakan kerana pada ketika itu, negara sedang berada dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1. Bekerja dalam tempoh PKP yang sukar amat berharga kerana banyak perkara baharu yang dapat dipelajari seperti berurusan dengan pihak berkuasa tempatan untuk sebarang makluman berhubung kebenaran operasi dan pergerakan petugas di kilang,” kata Zahir mengimbas kembali saat bekerja di bawah syarikat berkenaan.

Kini setelah 20 tahun, Zahir bersyukur dapat meneruskan khidmat dengan FGV. Beliau tidak melepaskan peluang untuk terlibat dalam aktiviti-aktiviti sosial dan kemasyarakatan di FGV antaranya sebagai salah seorang ahli jawatankuasa di surau Al-Muhajirin Wisma FGV, setiausaha Kelab Sukan dan Rekreasi FGV Zon KL dan ahli Persatuan Bomba Sukarela FGV.

“Saya gemar menyertai aktiviti-aktiviti yang melibatkan masyarakat, dan sentiasa bersedia menghulurkan bantuan bagi menjayakan aktiviti yang disertai. Bagi saya, kerjaya adalah suatu amanah, manakala aktiviti kemasyarakatan yang memberikan manfaat kepada orang lain merupakan ibadah. Kedua-duanya saya dapat perolehi di FGV ini,” kata Zahir yang berharap FGV dapat terus memberi lebih banyak sumbangan bermakna kepada masyarakat dan negara di masa hadapan.

Tamat