Bermula sebagai Eksekutif Pelatih di Ladang FGV Berabong 1, Pahang pada tahun 2005 merupakan detik awal penglibatan Mohd Yusof Baharom dalam industri perladangan sawit Kumpulan FGV.

Merantau jauh dari kampung halaman, personaliti pilihan Wira FGV ini cekal menghadapi pelbagai cabaran demi mendalami bidang yang digemarinya.

Yusof kini memegang jawatan sebagai Pengurus Operasi Jabatan Tenaga Kerja dan Perhubungan Peneroka di Jabatan Tenaga Kerja FGV. Kerjaya di bidang ini memerlukan komitmen yang tinggi kerana ianya dikategorikan sebagai 3D (kotor, bahaya, sukar), dan memerlukan ketahanan mental dan fizikal bagi menggalas tanggungjawab yang diberikan.

“Sudah menjadi rutin harian saya untuk turun ke padang dan melihat sendiri operasi harian bagi memastikan kerja-kerja dijalankan dengan lancar. Malah, tanggungjawab saya bukan sahaja melibatkan operasi ladang tetapi juga memastikan aspek kebajikan dan kesihatan pekerja ladang diberikan perhatian sewajarnya,” ujar beliau yang juga pernah bertugas sebagai Penolong Pengurus di Ladang FGV Bera Selatan 4.

Mengakui kerjayanya kini semakin mencabar, Yusof bersyukur kerana diberi peluang untuk terus memberi sumbangan bermakna kepada Kumpulan FGV terutamanya dalam memastikan pematuhan Kumpulan terhadap keperluan yang digariskan oleh Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) industri sawit.

“Tugas saya kini lebih kepada pemantauan standard yang ditetapkan oleh RSPO, terutamanya yang melibatkan pengurusan tenaga kerja migran di ladang-ladang FGV. Ini bagi memastikan Kumpulan sentiasa patuh kepada keperluan yang ditetapkan khususnya dalam usaha menghormati hak-hak pekerja migran. Ini termasuk memastikan mereka menerima kemudahan perumahan yang baik, akses terhadap kemudahan kesihatan dan sebagainya,” tambah beliau yang kini memantau pematuhan tersebut di empat buah wilayah di Zon Tengah.

Dalam kesibukan bekerja, Yusof juga tidak melepaskan peluang untuk aktif di dalam aktiviti-aktiviti sosial, kebajikan dan sukan yang dianjurkan oleh Kumpulan FGV. Beliau pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Kelab Sukan & Rekreasi Felda (KSRF) dan aktif dalam sukan hoki yang pernah dianjurkan
beberapa tahun dahulu.

“Saat yang paling tidak dapat dilupakan ialah kejayaan membawa pasukan hoki FGV ke Liga Hoki Kuala Lumpur Divisyen 1 pada tahun 2017. Ketika itu saya diberi tanggungjawab menjadi pengurus pasukan dan lebih membanggakan, pasukan FGV diwakili oleh seorang pemain profesional Malaysia,” ujar bapa kepada empat cahaya mata ini.

Menyentuh mengenai FGV pula, beliau berbangga dapat berkhidmat di Kumpulan FGV kerana bagi beliau FGV merupakan sebuah organisasi perladangan yang ternama dan disegani oleh pemain-pemain industri.

“Nama FGV terkenal bukan sahaja di pelosok negara malahan terkenal sebagai salah sebuah syarikat perladangan sawit terbesar di dunia. Saranan saya kepada semua terutamanya yang baru berkhidmat di Kumpulan FGV, berilah perkhidmatan yang terbaik dan bekerjalah dengan bersungguh-sungguh supaya FGV mampu melangkah lebih jauh lagi di masa hadapan. Kita mampu realisasikannya,” kata beliau.

Tamat