Walaupun telah berkhidmat lebih daripada 30 tahun di Kumpulan FGV, Koo Shuang Yen yang merupakan Setiausaha Syarikat untuk FGV dan MSM Malaysia Holdings Berhad tetap bersemangat untuk datang bekerja setiap pagi.

“Setiap pagi saya bangun dan masih teruja untuk melaksanakan tugas-tugas saya. Ini kerana saya amat bersyukur kerana masih dapat berkhidmat di FGV dan  sedar bahawa selama ini imbuhan yang diterima dari syarikat telah membantu menyara keluarga saya,,” ujar Koo yang akan menyambut hari kelahirannya yang ke-60 pada Ogos ini.

Koo memulakan kerjayanya sebagai Ketua Kewangan di Felda Engineering Services Sdn Bhd sebelum berkhidmat di Bahagian Kewangan di ibu pejabat.
Bertukar portfolio sebagai Setiausaha Syarikat sejak tahun 2014, ianya merupakan perubahan yang besar di dalam kerjaya Koo. Cabaran tersebut beliau tangani dengan berfikiran terbuka untuk mempelajari ilmu dan kemahiran yang baharu.

“Selain daripada menyertai kursus-kursus anjuran Bursa Malaysia, saya banyak dibantu oleh pasukan saya di dalam melaksanakan tugas-tugas sebagai Setiausaha Syarikat. Banyak yang telah saya pelajari terutamanya tentang Kehendak-kehendak Penyenaraian, Akta Syarikat, tadbir urus korporat dan amalan terbaik untuk sebuah syarikat yang disenaraikan.

“Jangan malu untuk bertanya kerana sikap demikian hanya akan merugikan diri sendiri. Di dalam sebuah syarikat, tidak mungkin kita boleh bekerja sendiri atau tahu semua perkara. Kita perlukan rakan sepasukan untuk melaksanakan tugas-tugas kita bersama-sama dan mencabar kita untuk melakukannya dengan baik,” tegasnya.

Ujarnya bahawa untuk seorang ketua perlu mempunyai empati iaitu kebolehan untuk memahami perasaan orang lain dan bersimpati bagi mendapat sokongan daripada petugas-petugas di bawah seliaannya. Sebagai contoh, ketua tersebut perlu mengambil tahu kekuatan and kelemahan mereka dan apa yang mendorong mereka untuk melaksanakan kerja-kerja mereka dengan baik.

Koo turut berkongsi tips untuk melaksanakan tugas dengan sempurna adalah untuk membuat senarai perkara-perkara yang perlu dibuat setiap pagi dan memastikan segala tugasan di selesaikan mengikut keutamaan dan emel yang diterima dibalas dengan segera.

“Saya sentiasa mengingatkan diri saya, jika saya berlengah, saya juga akan melengahkan kerja orang lain dan saya amat menitikberatkan tentang hal ini.

“Setiap kerja mempunyai tempoh masa yang perlu disudahkan dan kita harus memberi keutamaan kepada kerja-kerja yang perlu diselesaikan segera. Oleh itu saya akan sampai ke pejabat seawal satu jam atau lebih untuk mengaturkan hari saya agar hari saya lebih produktif,” tambahnya lagi.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Wanita Sedunia kepada semua petugas wanita di dalam Kumpulan FGV. Sabagai wanita, kita perlu lebih berdaya saing dan membuktikan bahawa kita sememangnya memberi sumbangan berharga untuk syarikat,” kata Koo menitipkan pesanannya.