Ketika krisis sekuriti makanan mula membelenggu dunia, termasuk Malaysia, Azti Dian Fitriyanti Azmi melihatnya sebagai peluang untuk FGVIF ke hadapan dan membantu negara mengatasi isu itu.
Selaku Ketua, Jualan dan Pemasaran FGV Integrated Farming (FGVIF) Dian, 45, percaya beliau dapat memainkan peranan secara langsung memastikan FGVIF menyumbang dalam agenda sekuriti makanan negara.
Ia berikutan anak kelahiran Kuala Lumpur itu bertanggungjawab memantau inisiatif perladangan dan perternakan FGVIF melalui beberapa projek utama yang berkait secara langsung dengan sekuriti makanan, antaranya makanan ternakan ayam dan penternakan ayam kampung serta beberapa inisiatif lain.
“Di FGVIF, kita mengadakan penjenamaan dan pemasaran tanaman kontan yang bermula dengan cavendish banana dan sehingga kini kita perluas ke beberapa buahan lain seperti jagung, harumanis dan durian musang king.”
“Jenama premium Ladang57’ pula telah memasarkan pelbagai produk tanaman tempatan untuk dikomersialkan secara besar-besaran, yang membantu petani secara langsung dan mengubah kehidupan mereka,” katanya.
Berikutan dapat berbakti secara langsung kepada masyarakat, Dian yang sebelum ini bertugas dalam bidang telekomunikasi, yakin keputusannya untuk menjadi sebahagian daripada keluarga FGV tiga tahun lalu, merupakan keputusan yang tepat.
Ibu kepada tiga anak itu menyifatkan beliau berasa lebih puas dan bermakna sejak memulakan kerjayanya dengan FGV, dan mahu terus menggalas amanah menyumbang kepada masyarakat dan negara bersama FGV.
“Bekerja di FGV adalah satu amanah yang perlu saya galas. Secara langsung saya membantu para petani dalam memastikan tanaman dapat berkembang dan menghasilkan produk berkualiti agar keuntungan dapat dinikmati oleh petani tempatan.”
“Kita membantu petani tempatan melalui pertanian kontrak, dimana hasil dari pertanian kita bantu pasarkan agar para petani dapat berkembang dan produk dapat dikomersialkan,” katanya lagi.