9 Julai 2026

JENGKA, 9 Julai 2026 – FGV Holdings Berhad (FGV) melabuhkan tirai Festival FGV yang berlangsung pada 6 dan 7 Julai 2026 di Perkarangan Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Pusat Jengka dengan menghimpunkan lebih 12,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjurannya.

Festival FGV membawa warga FELDA dan masyarakat mengenali dengan lebih dekat pelbagai produk, perniagaan, inovasi dan teknologi FGV

Penganjuran bersempena sambutan Hari Peneroka FELDA 2026 yang meraikan tujuh dekad perjalanan FELDA membangunkan komuniti peneroka, Festival FGV membawa warga FELDA dan masyarakat mengenali dengan lebih dekat pelbagai produk, perniagaan, inovasi dan teknologi FGV yang menterjemahkan bagaimana FGV terus mencipta nilai daripada sektor perladangan kepada pelbagai produk dan penyelesaian agribisnes.

YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, bersama YBhg. Datuk Abu Huraira Abu Yazid, Pengerusi FGV bersama Ahli Lembaga Pengarah FGV berkesempatan meluangkan masa di reruai FGV

 

Festival FGV menampilkan lebih lapan reruai melibatkan pelbagai segmen perniagaan Kumpulan FGV

Sepanjang dua hari penganjuran, Festival FGV menampilkan lebih lapan reruai melibatkan pelbagai segmen perniagaan Kumpulan, menganjurkan lebih 25 aktiviti dan demonstrasi, serta menghimpunkan penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Sebagai sebahagian daripada Kumpulan FELDA, penyertaan FGV di Hari Peneroka FELDA 2026 mencerminkan kesinambungan peranan Kumpulan dalam menyokong pembangunan komuniti peneroka. Di festival ini, pengunjung berpeluang mengenali pelbagai segmen perniagaan Kumpulan termasuk Perladangan, Minyak dan Lelemak, Gula, Logistik dan Sokongan serta Produk Pengguna, sekaligus memperlihatkan bagaimana hasil yang diusahakan warga peneroka diolah menjadi pelbagai produk dan penyelesaian bernilai tambah yang memberi manfaat kepada pengguna setiap hari.

                        

Pengunjung berpeluang mengenali pelbagai segmen perniagaan Kumpulan termasuk Perladangan, Minyak dan Lelemak, Gula, Logistik dan Sokongan serta Produk Pengguna,

Antara tarikan utama ialah Warung FGV, yang menyajikan lebih 25,000 hidangan dan minuman secara percuma menggunakan produk keluaran FGV seperti SAJI, SERI PELANGI dan GULA PRAI. Berbeza daripada konsep pensampelan makanan yang lazim di festival atau ekspo, pengunjung menikmati hidangan bersaiz penuh seperti roti canai, nasi goreng, bihun goreng, mi goreng, burger dan ayam goreng yang disediakan oleh pengusaha tempatan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi setempat.

                                 

Pengunjung dapat merasai sendiri bagaimana produk keluaran FGV digunakan dalam penyediaan hidangan harian

Pengalaman ini membolehkan pengunjung merasai sendiri bagaimana produk keluaran FGV digunakan dalam penyediaan hidangan harian, sekali gus menonjolkan kualiti, versatiliti dan kekuatan rantaian nilai FGV daripada ladang ke meja makan.

                            

Pengunjung kelihatan teruja dan gembira menyertai pelbagai permainan interaktif yang disediakan di reruai FGV

 

Festival turut dipenuhi dengan pelbagai pengisian interaktif termasuk demonstrasi masakan, pertandingan Tebar Roti Canai, sesi trivia, permainan interaktif, Active Arcade serta pelbagai aktiviti untuk pengunjung daripada pelbagai lapisan umur. Pengisian ini melengkapkan pengalaman pengunjung melalui gabungan pembelajaran, hiburan dan interaksi bersama jenama serta perniagaan FGV.

YBhg. Datuk Abu Huraira Abu Yazid, Pengerusi FGV turut menyertai Demonstrasi Tebar Roti Canai di Festival FGV

 

       

 

           

Pelbagai pengisian menarik disediakan bagi pengunjung daripada pelbagai lapisan umur

Selain itu, Festival FGV turut menampilkan reruai Felda Travel yang menerima sambutan menggalakkan, bukan sahaja daripada komuniti FELDA malah pengunjung luar, dengan menawarkan pakej umrah mampu milik serendah RM5,555 seorang. Felda Travel memanfaatkan pengalaman lebih 18 tahun dalam pengurusan haji dan umrah serta kekal komited menyediakan perkhidmatan yang terbaik, selesa dan dipercayai kepada para pelanggan.

                              

   Felda Travel Menawarkan pakej umrah mampu milik serendah RM5,555 seorang


Kemuncak Festival FGV turut menyaksikan pelancaran fasa baharu percubaan Biodiesel B100 dalam operasi perladangan FGV yang disempurnakan oleh YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia sempena sambutan Hari Peneroka FELDA 2026. Pemilihan Hari Peneroka FELDA sebagai platform pelancaran jelas menggambarkan  kepentingan inisiatif ini bukan sahaja kepada FGV, malah kepada ekosistem FELDA dan pembangunan industri sawit negara.

Pelancaran tersebut menandakan langkah baharu FGV dalam memperluaskan percubaan Biodiesel B100 kepada operasi jentera perladangan bagi menilai prestasi teknikal dan operasinya dalam persekitaran ladang sebenar. Inisiatif ini menunjukkan komitmen FGV untuk terus menerajui inovasi dalam sektor agribisnes melalui penyelesaian yang menyokong agenda peralihan tenaga, kelestarian industri sawit serta keterjaminan makanan negara.

                                 

Majlis pelancaran Biodiesel B100 telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, disaksikan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia; YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Pahang; YBhg. Dato’ Dr. Suzana Idayu Wati Osman, Pengarah Besar FELDA; dan YBrs. Encik Zaid Sidek, Timbalan Ketua Peneroka FELDA Kebangsaan (1)

Selain pelancaran Biodiesel B100, pengunjung turut berpeluang mendekati pelbagai teknologi, jentera dan penyelesaian agribisnes yang dipamerkan, sekaligus memberikan gambaran lebih menyeluruh mengenai bagaimana FGV memanfaatkan inovasi bagi meningkatkan produktiviti, kecekapan dan daya saing industri. Festival FGV turut memperlihatkan usaha Kumpulan untuk kekal relevan dalam menghadapi perubahan industri dan memenuhi jangkaan generasi baharu.

                                

Antara tarikan utama ialah pameran kenderaan yang menggunakan Biodiesel B100 FGV, memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat sendiri aplikasi teknologi bahan api alternatif ini

Festival FGV turut menyediakan reruai Vendor Relationship Management (VRM) yang memberi peluang kepada peneroka, usahawan FELDA dan pengusaha tempatan mendapatkan maklumat mengenai proses perolehan FGV serta mendaftar sebagai vendor berpotensi. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha FGV memperluas penyertaan komuniti FELDA dalam ekosistem perniagaannya melalui peluang kerjasama yang lebih luas.

 

                             

Kempen Beli & Menang, jualan produk pengguna pada harga promosi istimewa turut menggalakkan pengunjung mendekati pelbagai jenama produk keluaran FGV. Kempen ini merekodkan lebih 1,200 penyertaan, sekali gus mencerminkan sambutan positif pengunjung terhadap produk dan pengalaman yang ditawarkan sepanjang festival.

Lebih daripada sekadar festival, Festival FGV @ Hari Peneroka FELDA 2026 membuktikan komitmen FGV untuk terus berkembang bersama FELDA dalam memperkukuh rantaian nilai agribisnes negara. Melalui inovasi, produk dan penyelesaian bernilai tambah, FGV terus mengukuhkan peranannya sebagai rakan strategik FELDA dalam mencipta nilai kepada warga peneroka, negara dan generasi masa hadapan.

                          

Terima kasih diucapkan kepada warga peneroka serta seluruh pengunjung yang telah bersama-sama menjayakan dan memeriahkan Festival FGV

FGV merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada FELDA, semua rakan kolaborasi, agensi kerajaan, warga peneroka, pengunjung serta seluruh warga kerja yang telah bersama-sama menjayakan Festival FGV. Sokongan yang diberikan menjadi pemangkin kepada usaha FGV untuk terus memperkukuh sinergi bersama FELDA, memperkasa komuniti peneroka dan memacu pertumbuhan agribisnes negara yang lebih mampan, berdaya saing dan inklusif.

TAMAT

Find