9 Disember 2025

KUALA LUMPUR, 9 DISEMBER 2025 – FELDA dan FGV mengambil maklum kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu berhubung perkembangan rundingan mengenai tanah-tanah yang diusahakan di negeri tersebut. Kami amat menghargai pendekatan konstruktif, keterbukaan serta kerjasama erat yang ditunjukkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu, termasuk keputusan melanjutkan tempoh remedi sehingga 7 Januari 2026.

Hasil perbincangan yang positif ini juga membolehkan FGV memulakan semula operasi ladang hari ini seperti dipersetujui. Perkembangan ini memberikan kelegaan besar kepada peneroka yang selama beberapa minggu ini berdepan ketidakpastian tentang pendapatan, masa depan keluarga dan kelangsungan hidup mereka. Sejak awal, keutamaan kami adalah memastikan kebajikan, keselamatan ekonomi serta ketenteraman emosi peneroka khususnya anak jati Terengganu terus terpelihara.

Dengan penarikan notis terbabit, FELDA dan FGV kini dapat meneruskan operasi secara normal dan kembali memberi tumpuan kepada peningkatan hasil, pengukuhan pendapatan keluarga peneroka serta pembangunan komuniti di tanah rancangan. Kepastian ini bukan sahaja mengembalikan keyakinan dalam kalangan peneroka dan pekerja, malah memastikan ekosistem ekonomi setempat terus stabil.

FELDA dan FGV merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Terengganu atas komitmen dan kesediaan untuk terus mengadakan perbincangan secara profesional. Kerjasama ini amat bermakna kerana pada akhirnya kesejahteraan peneroka yang menjadi tunjang dan nadi FELDA sejak penubuhan adalah kepentingan bersama yang mesti terus dipertahankan.

TAMAT

 JABATAN KOMUNIKASI STRATEGIK FELDA DAN
BAHAGIAN KOMUNIKASI STRATEGIK KUMPULAN FGV 9 DISEMBER 2025

Find