Um’ran Abdullah, personaliti pilihan bagi ‘Wira FGV’ kali ini memulakan kerjaya beliau di dalam Kumpulan FGV pada tahun 1989 sebagai pelatih di Kilang Sawit Jengka 18. Minat yang besar di bidang kemahiran jentera elektrik membuatkan beliau serius mendalaminya dengan mengambil kursus berkaitan sehingga berjaya memperolehi sijil Penjaga Jentera Elektrik (Chargeman) kategori BO pada 2011.

Berkhidmat hampir 32 tahun di Kumpulan FGV, kepakaran beliau selaku Eksekutif Penjaga Jentera Elektrik kini dimanfaatkan bagi memastikan operasi harian di loji janakuasa tenaga boleh diperbaharui terbesar FGV, Kilang Sawit Triang berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan.

“Rutin harian saya di loji janakuasa ini biasanya dimulai dengan memantau terlebih dahulu jumlah aliran masuk sisa efluen kilang sawit (POME) ke dalam kolam reaktor bagi menghasilkan gas metana yang diperlukan. Ini termasuk memeriksa suhu POME yang bersesuaian dengan piawaian yang diperlukan supaya gas yang terhasil dapat ditukar kepada tenaga elektrik menerusi proses-proses yang telah ditetapkan,” kata Um’ran.

Jelasnya, secara purata loji janakuasa di KS Triang mampu menghasilkan antara 35 hingga 40 ribu KW tenaga elektrik sehari. Tenaga yang dihasilkan ini seterusnya akan disalurkan ke pencawang elektrik TNB berdekatan sebelum diagihkan melalui grid nasional.

“Antara penempatan yang mendapat manfaat dari inisiatif FGV ini ialah kawasan Felda yang berhampiran seperti Felda Triang, Felda Sebertak, Felda Purun, Felda Tementi dan Felda Bukit Kepayang serta kemudahan awam lain di sekitar kawasan tersebut,” jelas beliau sambil berkata sebanyak 2,000 KW elektrik disalurkan ke grid setiap hari.
Memandangkan tugas beliau melibatkan arus elektrik bervoltan tinggi, beliau sering mengingatkan diri sendiri serta petugas di bawah seliaan untuk sentiasa mengambil berat soal keselamatan tempat kerja dengan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Ini penting kerana sebarang kecuaian bukan sahaja boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri, malah boleh mengakibatkan kerugian kepada pihak syarikat. Justeru, untuk memastikan semua petugas sentiasa peka dan
kompeten menjalankan tugas, pihak kilang sentiasa memberikan latihan yang berkaitan setiap bulan untuk meningkatkan tahap kompetensi dan memastikan kepatuhan terhadap prosedur keselamatan,” jelas anak jati Felda Jengka 18 ini.

Um’ran berkata cabaran paling sukar baginya adalah memastikan operasi harian di stesen janakuasa serta bekalan elektrik berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

“Memastikan tenaga elektrik yang dibekalkan ke grid tidak terputus merupakan cabaran terbesar kami. Bagi memastikan ianya tidak terganggu, tugas-tugas pemantauan dan penyelenggaraan jentera-jentera berkaitan perlu dilakukan dengan kerap supaya sebarang kerosakan awal dapat ditangani sebaik mungkin,” ujar bapa kepada lima cahaya mata ini.

Um’ran tidak dapat melupakan kenangan pasukannya di loji janakuasa biomas Sahabat, Sabah menggondol hadiah utama sebanyak RM50,000 di Anugerah Kumpulan Inovatif & Kreatif bagi Kategori Penjimatan Syarikat yang diadakan di Kuala Lumpur pada 2016.

“Saya bersyukur kerana kami berjaya mencipta inovasi baharu yang membolehkan Loji Janakuasa Biomas Sahabat melakukan penjimatan penggunaan diesel sehingga RM900,000 setahun,” ujar Um’ran yang berharap lebih ramai lagi golongan pelapis mampu mencipta lebih banyak inovasi demi kemajuan FGV di masa hadapan.

 

Tamat