“Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan,” merupakan prinsip dan kata-kata yang sentiasa menjadi pembakar semangat buat pilihan ‘Wira FGV’ kali ini. Syarifah Nur Afni Syed Abdullah yang lebih mesra dengan panggilan Afni dalam kalangan rakan setugas berkata pepatah berkenaan banyak membantu dan mengajar beliau erti kesungguhan dalam melaksanakan tugasan sejak mula berkhidmat di Kumpulan FGV pada tahun 2005.

Bermula sebagai pelatih Agronomi di Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak (PPPTR) di bawah syarikat FGV Agri Services Sdn Bhd di Jerantut, Pahang, Afni menyatakan kerjaya beliau yang banyak berada di lapangan membuatkan dirinya lebih dekat dengan alam. Ini sekaligus mendorongnya untuk lebih menghargai kepentingan dan sumbangan alam sekitar kepada kehidupan manusia.

Di Jabatan Kelestarian Kumpulan, Afni berkata beliau banyak terlibat dalam pemantauan projek-projek yang melibatkan usaha kelestarian terutamanya berkaitan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. Antaranya pemeliharaan kepelbagaian bio (biodiversity) seperti flora dan fauna yang semakin pupus dan terancam, serta pengurusan konflik antara manusia dan haiwan liar di ladang di mana FGV beroperasi.

Selain itu, sokongan teknikal juga dihulurkan dalam membantu pasukan FGV dalam proses pensijilan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO), terutamanya yang melibatkan keperluan-keperluan khusus yang terkandung dalam standard tersebut berkaitan alam sekitar.

“Ramai yang tidak sedar, di ladang-ladang kita banyak terdapat spesis flora dan fauna yang semakin terancam dan pupus. Haiwan liar seperti gajah dan spesis Beruang Matahari kerap dijumpai oleh petugas atau masyarakat setempat di sekitar kawasan ladang FGV.”

“Tugas saya ialah untuk memastikan spesis-spesis ini terus dilindungi dan dipelihara di samping mengesyorkan pelan pemeliharaan menerusi kerjasama dan sesi libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan, agar perjalanan operasi harian di ladang tidak menggangu habitat mereka,” kata graduan dalam bidang Sains Biologi Gunaan (Kepujian), dari Universiti Sains Malaysia ini.

Meskipun kerjaya agak mencabar dan lasak, namun ianya tidak mematahkan semangat Afni untuk terus memberikan khidmat terbaik buat FGV. Beliau berkata menjadi satu-satunya agronomis wanita pertama yang diambil bekerja di FGV ketika itu memberikan sedikit cabaran buat dirinya. “Namun saya mengambil sikap untuk bersedia untuk belajar, serta berbuat baik dengan semua orang tanpa mengira kedudukan menyebabkan kesukaran tersebut dapat diatasi,” tambah Afni yang kini memegang jawatan sebagai Pengurus di Unit Teknikal, Bahagian Kelestarian Kumpulan FGV.

Berkata lanjut mengenai kenangan manis bersama FGV, Afni berkata beliau antara petugas yang terlibat secara langsung dalam kejayaan Kumpulan Felda yang muncul selaku organisasi pekebun kecil pertama di dunia memperolehi pensijilan RSPO pada tahun 2010.

“Kejayaan ini bukanlah sesuatu yang mudah memandangkan ianya perlu mengikut pemeriksaan protokol ketat dan dinilai oleh penilai berdasarkan prinsip dan kriteria yang ditetapkan oleh RSPO pada November 2007. Malah, kita juga merupakan antara yang terawal mengaplikasikan standard RSPO di Kompleks Kota Gelanggi dan Kompleks Lepar Utara di Jerantut, Pahang,” jelas Afni.

Afni berharap usaha-usaha kelestarian terus menjadi agenda utama Kumpulan dalam memastikan keseimbangan antara penjagaan alam sekitar dan kelangsungan perniagaan. “Kini banyak syarikat multinasional seluruh dunia memberikan tumpuan terhadap aspek kelestarian dalam perniagaan mereka. Langkah FGV dalam berkolaborasi dengan beberapa pihak luar amat baik dan wajar diteruskan terutamanya dalam memacu inisiatif kelestarian di segenap aspek pernigaan FGV di mana sahaja kita beroperasi,” kata beliau yang turut berharap lebih banyak kejayaan cemerlang dilakar oleh FGV di masa hadapan.

Tamat