‘Cuba sehabis baik’ dan ‘tidak berputus asa’ sentiasa menjadi pedoman buat wirawati pilihan kali ini, Latifah Lokman, yang kini bertugas sebagai Ketua Unit Operasi Kurier FGV di FGV Transport Services Sdn Bhd, Serting, Negeri Sembilan.
Beliau mengakui bukan mudah untuk menggalas tanggungjawab di dalam kerjaya yang didominasi oleh lelaki, namun berbekalkan keyakinan dan motto ‘cuba sehabis baik’, beliau menjalankan tugasan dengan cekap, cepat dan tepat bagi mengekalkan keyakinan dan kepercayaan para pelanggan.
Mula bertugas sebagai jurutaip bergaji hari di Perbadanan Angkut Felda (kini FGV Transport) Depot Pasir Besar, Gemas, Negeri Sembilan pada 1983, beliau menimba pelbagai pengalaman berharga sebelum menjawat jawatan terkini selaku Ketua Unit Operasi Kurier FGV di Serting.
“Sebelum bertugas sebagai Ketua Unit Kurier FGV, saya pernah diberi kepercayaan oleh pihak syarikat berkhidmat di bahagian sumber manusia, kewangan dan juga operasi. Namun, pengalaman bekerja di bahagian operasi sawit dan kargo ketika di FGV Transport Depot Lahad Datu dan Sahabat di Sabah benar-benar membuka mata saya terhadap cabaran sebenar petugas operasi,” kata ibu kepada empat cahaya mata ini.
“Saya berpindah ke Depot Sahabat pada bulan Jun 2006 atas pilihan sendiri setelah operasi FGV Transport Serting ditutup pada tahun tersebut. Ketika itu, saya benar-benar ingin mencari pengalaman baharu dan mahu mencabar keupayaan diri sendiri dengan tugas baharu. Alhamdulillah, saya berpeluang menimba banyak pengalaman berharga di sana terutamanya selok-belok pengurusan operasi depot selain berkesempatan mengenali budaya masyarakat setempat yang pelbagai suku kaum.”
Sebagai petugas yang telah berkhidmat selama 38 tahun, beliau juga sentiasa mengingatkan petugas di bawah kendalian beliau untuk sentiasa bekerjasama di antara satu sama lain, hormat-menghormati dan paling penting adalah kesabaran diri. Ini kerana kerjaya di bidang penghantaran barangan ini adakalanya menguji kesabaran termasuklah berhadapan dengan pelbagai karenah dan ragam pelanggan setiap hari.
Meskipun bergelumang dengan kerjaya yang memerihkan, namun beliau tetap bersyukur kerana sentiasa mendapat sokongan dan dorongan daripada keluarga tercinta.
“Sebagai petugas lama, saya sentiasa menasihati petugas dan juga pelapis baharu untuk bekerja dengan penuh amanah. Jika kita amanah pada tugasan kita, keberkatan akan datang dengan sendirinya. Kita juga perlu ada sikap ‘sayangkan syarikat’ seperti kita sayangkan keluarga kita sendiri. Barulah keseronokan bekerja itu akan datang dan tanpa dipaksa kita akan buat sehabis baik,” kata beliau yang mahu menjadikan kerjaya ini sebagai salah satu sumbangan berharga beliau buat syarikat sebelum bersara wajib nanti.
Tamat