KUALA LUMPUR, 14 OGOS 2025 – FGV Holdings Berhad (FGV) hari ini menyerahkan bayaran zakat perniagaan berjumlah RM3.45 juta kepada Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi haul 2024, beserta sumbangan bernilai RM125,000 kepada 500 orang asnaf di sekitar Taman Wahyu 2, Kuala Lumpur.
Sebanyak RM125,000 telah disalurkan kepada 500 orang asnaf dari sekitar Taman Wahyu 2 Kuala Lumpur di program Ziarah Kasih PPZ-MAIWP & FGV pagi tadi.
Majlis penyerahan zakat perniagaan tersebut telah disempurnakan oleh Tan Sri Rastam Mohd Isa, Pengerusi FGV, kepada YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), yang menerima sumbangan tersebut bagi pihak Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).
Penyerahan ini diadakan bersempena program Ziarah Kasih PPZ-MAIWP & FGV Bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang berlangsung di Dewan Komuniti PPR Taman Wahyu 2.
Pada majlis yang sama, setiap daripada 500 penerima menerima wang tunai bernilai RM100, beserta barangan dapur bernilai RM150, termasuk barangan basah dan produk makanan keluaran FGV seperti minyak masak SAJI, ketupat mini SAJI, susu krimer SAJI, beras wangi SAJI, sos-sos SAJI dan marjerin Seri Pelangi.
YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im dalam ucapannya berkata, Majlis Ziarah Kasih yang diadakan pada hari ini bukan sekadar acara formal, sebaliknya membawa mesej kasih sayang, empati dan rasa tanggungjawab di mana ia telah menyatukan kepentingan dunia korporat dengan aspirasi kemasyarakatan dan tuntutan agama.
“Kita semua sedia maklum bahawa kehidupan di bandar terutamanya Kuala Lumpur datang dengan kos sara hidup yang tinggi dan mencabar. Justeru, setiap bentuk bantuan walaupun pada zahirnya dilihat sederhana, sebenarnya mampu memberi nafas lega kepada mereka yang memerlukan.
“Sumbangan hari ini bukan sekadar bentuk bantuan jangka pendek. Ia adalah simbol komitmen FGV sebagai syarikat korporat yang cakna, bertanggungjawab dan memainkan peranan aktif dalam menjaga kebajikan masyarakat Islam khususnya. Ia juga adalah cerminan kepada model shared prosperity di mana keuntungan korporat dikongsi semula dengan masyarakat menerusi saluran zakat yang telus dan berkesan,” katanya.
Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), (dua dari kiri) dan Tan Sri Rastam Mohd Isa, Pengerusi FGV, (tiga dari kiri) menyantuni warga asnaf di Taman Wahyu 2 Kuala Lumpur sambil menyerahkan sumbangan di program Ziarah Ksih PPZ-MAIWP & FGV.
Majlis turut dihadiri oleh Dato’ Sri Amrin Awaluddin, Pengerusi PPZ-MAIWP; Fakhrunniam Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV; Datuk Abdul Hakim Amir Osman, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP; serta wakil-wakil daripada Jabatan Perdana Menteri, FGV dan PPZ-MAIWP.
“Zakat bukanlah sebahagian daripada tuntutan agama semata-mata, ia adalah instrumen penting dalam mengurangkan jurang ekonomi dan memacu pembangunan masyarakat Islam. Di FGV, kami memahami cabaran yang dihadapi komuniti, dan komited untuk berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan, khususnya di kawasan operasi kami,” ujar Tan Sri Rastam.
Bagi haul tahun 2024, Kumpulan FGV menyalurkan zakat perniagaan berjumlah keseluruhan RM20 juta, termasuk RM3.45 juta bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang diserahkan pada majlis ini. Selain Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, FGV pada Isnin lalu, telah menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM251,084 kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP). Dalam masa terdekat, penyerahan zakat perniagaan akan diteruskan di negeri-negeri lain tempat Kumpulan beroperasi seperti Selangor, Perlis, Pahang dan Johor.
Kumpulan FGV menunaikan zakat perniagaan bagi haul 2024 berjumlah RM20 juta, termasuk RM3.45 juta bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang diserahkan melalui YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im.
Tan Sri Rastam menambah, “Dengan menunaikan kewajipan zakat, kami berhasrat meringankan beban golongan memerlukan, selaras dengan usaha kerajaan memperkasa komuniti. Sumbangan ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan kami untuk membawa perubahan positif dalam kehidupan rakyat Malaysia yang memerlukan.”
Menurut Pengerusi FGV, Tan Sri Rastam Mohd Isa, “FGV memahami cabaran yang dihadapi komuniti, dan komited untuk berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan, khususnya di kawasan operasi kami.”
Sumbangan FGV melalui program Ziarah Kasih PPZ-MAIWP & FGV pada hari ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan FGV di bawah payung program tanggungjawab sosial korporat syarikat iaitu “FGV Seikhlas Hati.”
Bagi tahun 2025, FGV Seikhlas Hati menyasarkan bantuan kepada 1,500 orang asnaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Pahang. Pada awal tahun ini, program tersebut telah menyalurkan bantuan kelengkapan persekolahan berjumlah RM2.25 juta kepada lebih 15,000 pelajar, selain RM500,500 melalui Yayasan Didik Negara, Kementerian Pendidikan Malaysia untuk pemberian peranti tablet kepada lebih 1,430 pelajar di Kluang dan Pasir Gudang. Pada tahun 2024, FGV telah memperuntukkan kira-kira RM10.3 juta bagi program membasmi kemiskinan bandar dan luar bandar serta menangani keciciran pendidikan.
Dalam setiap transformasi dan perubahan yang ditempuh, FGV kekal teguh sebagai rakan pembangunan negara, menunaikan kewajipan berzakat dan menggerakkan pelbagai inisiatif bantuan demi membina masyarakat yang inklusif dan berdaya tahan, dengan pemerkasaan peneroka FELDA sebagai nadi perjuangan, dipandu prinsip kelestarian, tanggungjawab dan manfaat jangka panjang buat semua pihak berkepentingan.