24 September 2025

JERANTUT, 24 SEPTEMBER 2025 – FGV Holdings Berhad (FGV) hari ini menyerahkan sumbangan berjumlah RM6.87 juta dalam bentuk bayaran zakat perniagaan dan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) serta komuniti setempat di negeri Pahang.

Majlis penyerahan yang berlangsung di Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak (PPPTR), Jerantut, ini disempurnakan dengan keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah.

Turut hadir Yang Berhormat Dato’ Amizar Abu Adam, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang; merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Pelangai, barisan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang, pengurusan tertinggi FELDA dan FGV, serta lebih 600 tetamu termasuk wakil agensi kerajaan, pemimpin komuniti dan rakan media.

Daripada jumlah keseluruhan, RM4.87 juta merupakan bayaran zakat perniagaan FGV bagi haul 2024 yang diserahkan kepada MUIP, disaksikan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, manakala RM2 juta lagi disalurkan terus kepada komuniti di Pahang melalui pelbagai inisiatif CSR.

Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyaksikan penyerahan zakat perniagaan FGV bagi haul 2024 berjumlah RM4,872,519.00 kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

Pada majlis berkenaan, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berkenan menyampaikan pemberian tunai sumbangan FGV sebanyak RM500 setiap seorang kepada 100 penerima asnaf.

Selain itu, turut disampaikan pemberian cek cura bagi pelaksanaan inisiatif lain oleh FGV, termasuk pembinaan 10 unit rumah baharu untuk asnaf bernilai RM863,700, sumbangan kepada 15 institusi pendidikan – termasuk Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Kebangsaan (SK) dan Maahad serta kerja naik taraf Masjid PPPTR bernilai RM100,000.

Pemberian cek cura juga meliputi penyerahan mesin ultrasound bernilai RM89,000 kepada Klinik Kesihatan Chini, penyediaan van jenazah bernilai RM150,000 untuk kegunaan komuniti, pelaksanaan Projek Hijrah Asnaf bersama MUIP dan Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank) bernilai RM500,000, serta sumbangan RM100,000 kepada Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA).

Tan Sri Rastam Mohd Isa, Pengerusi FGV berkata, “Sebagai warga korporat yang prihatin, FGV sentiasa komited dalam menunaikan kewajipan berzakat demi memenuhi tuntutan agama sejak tahun 2005. Walaupun berdepan cabaran perniagaan yang tidak menentu pada tahun 2024, alhamdulillah FGV masih dapat menunaikan zakat perniagaan kumpulan bagi haul 2024 di bagi setiap negeri FGV beroperasi dengan jumlah terkumpul sebanyak RM20 juta”.

“Sumbangan yang diagihkan pada hari ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan FGV di bawah program FGV Seikhlas Hati yang bukan sahaja membantu meringankan beban golongan memerlukan, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan komuniti yang inklusif dan berdaya tahan. Kami percaya bahawa keberkatan perniagaan datang daripada perkongsian rezeki dengan golongan yang memerlukan”.

Bagi tahun 2025, FGV Seikhlas Hati menyasarkan bantuan kepada 1,500 orang asnaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Pahang. Pada awal tahun ini, program tersebut telah menyalurkan bantuan kelengkapan persekolahan bernilai RM2.25 juta kepada lebih 15,000 pelajar, selain sumbangan RM500,500 melalui Yayasan Didik Negara dan Kementerian Pendidikan Malaysia bagi pemberian peranti tablet kepada lebih 1,430 pelajar di Kluang dan Pasir Gudang.

Pada tahun 2024, FGV telah memperuntukkan kira-kira RM10.3 juta bagi program-program pembasmian kemiskinan serta keciciran pendidikan di seluruh Malaysia. Usaha ini akan diteruskan pada tahun 2025 melalui pelbagai inisiatif baharu yang memberi fokus kepada pendidikan, pembangunan komuniti dan kelestarian alam sekitar.

Dengan inisiatif ini, FGV menegaskan peranannya sebagai pemacu ekonomi dan pembangunan komuniti yang inklusif. Setiap pelaburan kebajikan dilihat sebagai komitmen jangka panjang untuk masa depan yang sejahtera. Dipandu oleh prinsip kelestarian, tanggungjawab sosial dan perkongsian manfaat, FGV terus memperkukuh rantaian nilai industri, memelihara kesejahteraan komuniti dan menyumbang kepada agenda pembangunan negara secara lestari.

TAMAT

Find