FGV Kukuhkan Hubungan dengan Komuniti Peneroka dalam Era Transformasi Baharu
KUALA LUMPUR, 7 OGOS 2025 – Festival FGV 2025 anjuran FGV Holdings Berhad (FGV) yang berlangsung dari 30 Julai sehingga 3 Ogos bersempena Hari Peneroka FELDA 2025 di Karnival Mega 3 Dimensi (MK3D) telah melabuhkan tirainya dengan sambutan yang luar biasa.
Festival ini lebih daripada sekadar acara sambutan, ia manifestasi komitmen FGV dalam memperkukuh hubungan dengan komuniti peneroka FELDA dan melangkah bersama dalam fasa pertumbuhan dan transformasi seterusnya.
Dari kiri Fakhrunniam Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV; Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri ; Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek Pengerusi FELDA dan Tan Sri Rastam Mohd Isa, Pengerusi FGV melawat reruai Produk Pengguna di Festival FGV.
“FGV merakamkan penghargaan kepada FELDA atas peluang yang diberikan untuk turut serta dalam sambutan Hari Peneroka 2025 dan menjadi sebahagian daripada MK3D. Peneroka bukan sekadar pembekal buah tandan sawit (BTS) kepada FGV, mereka adalah rakan kongsi strategik dalam kejayaan dan masa depan FGV. Festival FGV 2025 memberi ruang untuk kami menyantuni mereka, mendengar secara langsung dan membina kepercayaan yang lebih kukuh,” kata Fakhrunniam Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV.
Fakhrunniam Othman, Ketua Pegawai Eksekutif, FGV Holdings Berhad di Majlis Menandatangani Memorandum Kolaborasi (MOC) antara FGV Holdings Berhad dan Ditrolic Energy
“Hari ini, lebih 70 peratus BTS FGV datang daripada peneroka FELDA dan pekebun kecil. Hubungan ini melangkaui angka semata-mata, tetapi amanah besar yang terus menjadi nadi dalam setiap langkah transformasi kami. FGV kekal komited untuk bersama membina masa depan negara yang inklusif dan lestari,” ujar Fakhrunniam lagi.
Tan Sri Rastam Mohd Isa, Pengerusi FGV menyantuni pengunjung Festival FGV.
Antara aktiviti menarik iaitu penyertaan Perajurit Dapur yang disertai oleh peserta dari wakil Wilayah FELDA.
Menyerlahkan Kemajuan, Inovasi dan Pemerkasaan Komuniti
Penyertaan Festival FGV 2025 dalam MK3D anjuran bersama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), yang berjaya menarik lebih 2.1 juta pengunjung, mengukuhkan komitmen FGV dalam memperkasa komuniti luar bandar dan memacu transformasi industri sawit negara ke persada dunia.
Antara sorotan utama Festival FGV 2025 ialah:
- Pelancaran Produk Baharu: SAJI Kerisik, SAJI Bihun (Bebas Gluten), Beras SAJI Aroma 2kg dan 250g, Minyak Masak Sebatian SAJI, serta pek mini SERI PELANGI 200g.
- Teknologi dan Mekanisasi Ladang: Electric Steer Power Barrow B3’S, TaburTani Mechanical Crawler Fertiliser Launcher dan SemburTani Mechanical Crawler Sprayer hasil kemajuan teknologi mekanisasi sektor perladangan yang akan meningkatkan kecekapan operasi di ladang.
- Kerjasama Strategik:
- Universiti Malaysia Kelantan: pembangunan CapriBos Multi-nutrient Block (CMB), makanan tambahan yang diformulasikan secara saintifik untuk meningkatkan tahap kesihatan haiwan ternakan.
- Ditrolic Energy: pemasangan sistem solar photovoltaic (PV) berkapasiti 5 megawatt di 11 operasi FGV di seluruh negara dijangka mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 72,000 tan metrik setahun.
- FGV EduGames: Permainan mudah alih pertama di dunia yang direka khusus untuk memberi pendedahan global mengenai pertanian lestari dan impak berterusan Amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG). Sebagai peneraju dalam industri sawit, FGV memperkenalkan pendekatan baharu dalam pendidikan agro yang bukan sahaja menarik minat golongan muda, malah sesuai untuk seisi keluarga, selaras dengan wawasan strategik FGV untuk menyatukan pendidikan, teknologi dan tanggungjawab korporat dalam membentuk masa depan yang lebih lestari.
Aktiviti Sembang Kuali bersama Pempengaruh, Ryan Howlett menerima sambutan yang menggalakkan.
Pertandingan Perajurit Dapur mencuri perhatian dengan aksi sengit para juara memasak FELDA yang bersaing menyediakan hidangan kreatif menggunakan bahan daripada kotak misteri. Antara ramuan utama ialah produk keluaran FGV seperti minyak masak, krimer, sos masakan, dan pelbagai lagi barangan dapur yang menyerlahkan kualiti serta keversatilan produk FGV dalam masakan seharian.
“Jenama pengguna FGV seperti SAJI, SERI PELANGI dan GULA PRAI telah membina reputasi kukuh dalam kalangan pengguna tempatan menerusi kualiti, nilai dan kebolehpercayaannya. Penggunaan produk ini dalam pertandingan memasak membuktikan keupayaannya dalam pelbagai jenis masakan. Sebagai syarikat pengeluar makanan, kami terus mengukuhkan kedudukan sebagai “teman kulinari” pengguna dengan menyediakan produk yang kompetitif, halal dan diyakini, melalui pelbagai platform seperti Kedai FGV,” tambah Fakhrunniam.
Festival ini turut dimeriahkan dengan demonstrasi masakan oleh selebriti kulinari seperti Chef Anis Nabila, Prof. Dato’ Chef Zam dan Chef Wan Rathnor. Segmen Sembang Kuali bersama personaliti media sosial seperti Ceddy Ang, Ryan Howlett dan Hani Fazil menambahkan elemen kontemporari dalam festival ini. Tidak ketinggalan, acara seperti Lesung Batu Showdown, Canai Toss Off dan Piala Tarik menyemarakkan lagi suasana dengan sentuhan tradisi yang menghiburkan.
Acara kemuncak cabutan bertuah FGV Hujan Emas menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM100,000 termasuk sebuah motosikal elektrik dan pakej percutian Felda Travel bernilai RM10,000. Festival turut diserikan dengan persembahan daripada artis tanah air seperti Liyana Fizi, Ismail Izani dan HyperAct, di samping sesi busking santai yang menghiburkan.
FGV Sambut Baik Sokongan Kerajaan MADANI, Iktiraf Masa Depan FGV
FGV turut menzahirkan penghargaan kepada YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri atas kehadiran dan sokongan terhadap Festival FGV 2025. Kehadiran mereka memberi isyarat jelas bahawa masa depan FELDA dan FGV merupakan agenda penting dalam pembangunan negara.
YAB Dato Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia melawat reruai FGV di Festival FGV bersempena Hari Peneroka FELDA 2025 di Karnival Mega 3 Dimensi (MK3D).
“Transformasi FGV yang sedang dilaksanakan adalah langkah strategik yang memperkukuhkan komitmen kami kepada para peneroka, pemegang saham, rakan niaga, serta ekosistem perniagaan kami. Malah, FGV akan terus komited terhadap amalan perniagaan yang bertanggungjawab, berintegriti dan berpaksikan nilai-nilai teras yang kami pegang – Partnership, Respect, Integrity, Dynamism, Enthusiasm (P.R.I.D.E),” tambah Fakhrunniam.
FGV merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan Festival FGV 2025. Bersama-sama, kita mengorak langkah ke arah masa depan yang lebih cemerlang.
Untuk maklumat lanjut mengenai Festival FGV, layari www.fgvholdings.com atau ikuti platform media sosial rasmi FGV — Facebook, Instagram, TikTok, LinkedIn dan YouTube.
TAMAT