Sarat dengan aktiviti interaktif, promosi produk, dan pameran inovasi digital; termasuk pelancaran aplikasi permainan mudah alih bertemakan industri sawit lestari
KUALA LUMPUR, 31 JULAI 2025 – FGV Holdings Berhad (FGV) hari ini melancarkan Festival FGV 2025, yang kembali tahun ini dengan pelbagai aktiviti menarik yang menanti pengunjung dari 30 Julai hingga 3 Ogos ini bersempena Hari Peneroka FELDA 2025 di Karnival Mega 3 Dimensi (MK3D), bertempat di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Penyertaan FGV dalam MK3D yang merupakan kerjasama antara Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam memperkasa peneroka FELDA, menyokong agenda luar bandar, serta menyerlahkan potensi industri sawit Malaysia di peringkat global.
Pelancaran Festival FGV 2025 dan Aplikasi FGV Edugames
Majlis pelancaran Festival FGV 2025 disempurnakan oleh Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, Pengerusi FELDA, disaksikan oleh Tan Sri Rastam Mohd Isa, Pengerusi FGV; Fakhrunniam Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV; serta barisan ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan Kumpulan FGV.
(Dua dari kanan) Tan Sri Rastam Mohd Isa, Pengerusi FGV; Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, Pengerusi FELDA dan Fakhrunniam Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV bersama – sama barisan Ahli Lembaga Pengarah FELDA dan FGV semasa acara perasmian Festival FGV 2025 bersempena Hari Peneroka FELDA di MITEC, Kuala Lumpur.
“Festival FGV 2025 cukup dekat di hati kami kerana ia menghimpunkan usaha, semangat dan sumbangan luar biasa peneroka serta pekebun kecil yang menjadi tulang belakang kepada FGV. Mereka menyumbang lebih 70 peratus bekalan Buah Tandan Segar (BTS) ke kilang-kilang FGV yang menjadi tunjang kepada rantaian bekalan dan kejayaan syarikat hari ini.
Acara ini bukan sahaja ruang untuk kami menghargai mereka, tetapi juga platform untuk mengetengahkan peranan besar FGV dalam industri sawit negara, menyebar luas kebaikan serta kepelbagaian produk berasaskan sawit,” kata Fakhrunniam.
Tambahnya, selari dengan tema MK3D iaitu “Desaku Mendunia”, FGV percaya bahawa penganjuran Festival FGV ini merupakan bukti keyakinan dan sokongan terhadap daya juang dan potensi industri desa untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa.
Sebagai salah satu pengeluar minyak sawit terbesar dunia, FGV menerusi festival ini berhasrat untuk mendekatkan diri dengan masyarakat dan memperkukuh pemahaman tentang peranannya dalam menyokong rantaian bekalan FELDA, menjana peluang ekonomi baharu, serta menyumbang secara langsung kepada pembangunan komuniti dan negara.
Pada hari tersebut, FGV turut melancarkan aplikasi permainan mudah alih pertama di dunia, FGV Edugames yang memfokuskan kepada dunia pertanian sawit lestari dan impak alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) secara interaktif.
Tan Sri Rastam Mohd Isa, Pengerusi FGV (tiga dari kanan); Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, Pengerusi FELDA dan Fakhrunniam Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV dan barisan Ahli Lembaga Pengarah dan Pengurusan Kanan FGV melancarkan FGV EduGames di Festival FGV 2025 di MITEC, Kuala Lumpur.
“Kami melihat FGV Edugames sebagai satu cara yang lebih mudah, mesra dan relevan untuk mendekatkan generasi muda kepada dunia agrikomoditi. Ia bukan sahaja mempercepat adaptasi digital, malah membuka ruang untuk mereka memahami erti kelestarian dan tanggungjawab sosial dengan cara yang menyeronokkan. Inisiatif ini mencerminkan wawasan strategik FGV untuk menyatukan pendidikan, teknologi dan tanggungjawab korporat dalam memperkasa ekosistem pertanian moden,” kata Fakhrunniam.
Permainan seperti Weevil Hero, Ladang Defence dan Waste to Wealth yang terdapat di dalam FGV Edugames ini memperkenalkan elemen kelestarian, biodiversiti dan ekonomi kitaran dengan pendekatan pembelajaran yang lebih kreatif. Dibangunkan sepenuhnya oleh FGV, aplikasi ini boleh dimuat turun di App Store dan Google Play di seluruh dunia.
Pengisian Menarik Sepanjang Festival FGV 2025
Antara tarikan utama Festival FGV tahun ini ialah pameran inovasi dan teknologi moden dalam sektor agrokomiditi, menampilkan inisiatif FGV dalam automasi, pendigitalan dan tenaga boleh diperbaharui. Turut berlangsung adalah beberapa pengumuman penting dan pelancaran inisiatif baharu FGV, meliputi projek strategik, produk makanan dan pertanian terkini yang mencerminkan komitmen berterusan FGV dalam memacu inovasi serta memberi nilai tambah kepada komuniti.
Festival ini turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian menarik untuk semua lapisan masyarakat antaranya termasuk persembahan artis tempatan seperti Liyana Fizi, Ismail Izzani dan Hyperact, sesi Sembang Kuali bersama pempengaruh, serta demonstrasi masakan bersama chef selebriti seperti Chef Zam, Chef Wan Rathnor dan Anis Nabilah.
Festival ini juga mengekalkan acara ikonik “Perajurit Dapur”, yang kembali dengan edisi khas Kotak Misteri FGV yang menguji kebolehan peserta menghasilkan hidangan kreatif secara spontan. Selain itu, pengunjung boleh turut serta dalam pelbagai pertandingan interaktif yang mengangkat elemen warisan kulinari tempatan seperti Piala Tarik, Canai Toss-Off dan Lesung Batu Showdown.
Kedai FGV menawarkan pelbagai produk pengguna daripada jenama seperti SAJI, GULA PRAI dan LADANG’57 pada harga promosi, manakala reruai FELDA Travel mengetengahkan pakej umrah dan pelancongan domestik dengan tawaran eksklusif.
Pengunjung juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah istimewa bernilai lebih RM100,000 menerusi beberapa siri cabutan bertuah dan promosi khas sepanjang festival. Antara hadiah utama termasuk skuter elektrik, peralatan elektrik rumah dan barangan eksklusif Kedai FGV.
Untuk maklumat lanjut mengenai Festival FGV, layari www.fgvholdings.com atau ikuti platform media sosial rasmi FGV — Facebook, Instagram, TikTok, LinkedIn dan YouTube.
TAMAT