Beliau dibesarkan dalam keluarga besar dengan sembilan adik-beradik dan ibu bapa yang berkerjaya sebagai guru di Perak. Muhammad Mujahid Pahmi memulakan pendidikan rendahnya di Sekolah Rendah Al Hidayah, Ipoh dan melanjutkan pelajaran ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Transkrian dan juga MRSM Taiping.
Di MRSM, Mujahid memupuk cita-cita untuk meneruskan pelajaran ke luar negara setelah melihat kejayaan senior lepasan MRSM yang mendapat biasiswa penuh. Beliau bersungguh-sungguh, ingin mengikuti jejak langkah mereka. Kebetulan semasa mencari biasiswa, Mujahid terbaca di akhbar tentang tawaran oleh FGV. Baginya tawaran yang dikeluarkan oleh FGV ketika itu agak menarik memandangkan biasiswa FGV tidak pernah dikeluarkan sebelum ini berbanding organisasi lain ternama yang pernah menawarkan biasiswa.
“Saya masih ingat saya menaiki bas seawal pagi dari Ipoh ke Kuala Lumpur untuk sesi temuduga biasiswa yang diadakan di Ibu Pejabat pada ketika itu di Balai Felda. Mak saya tidak putus-putus mendoakan saya,” kata Mujahid. Menurutnya, dia agak ragu-ragu sama ada dia benar-benar mahukan biasiswa tersebut kerana mengetahui akan terikat dengan kontrak pekerjaan yang panjang selama 10 tahun. Namun, keputusan itulah yang menjadi titik tolak perjalanan kerjayanya di FGV.
Selepas tamat pengajian di University of Edinburgh, United Kingdom, Mujahid melapor diri pada September 2012 sebagai penyelidik di makmal Felda Agricultural Services Sdn Bhd (sekarang FGV Agri Services) di Enstek, Negeri Sembilan. Di sana, beliau mendapat pendedahan tentang bahagian penyelidikan dan pembangunan yang merupakan komponen penting untuk syarikat perladangan gergasi seperti FGV. Peluang datang mengetuk dan beliau menukar laluan kerjayanya ke MSM Malaysia Holdings Berhad, sektor gula di bawah FGV di mana beliau berkhidmat di beberapa jabatan seperti eksport, pembangunan perniagaan dan sebagai pegawai khas kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM.
Pada tahun 2019, Mujahid kembali ke FGV dan menjadi salah seorang Pegawai Khas kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV yang ketika itu adalah Dato’ Haris Fadzilah Hassan. Ujarnya, berkhidmat di peringkat Kumpulan membolehkannya melihat pandangan menyeluruh atau helicopter view sebuah syarikat besar seperti FGV, dengan puluhan anak syarikat dan operasi di seluruh dunia, cara ia berfungsi dan saling berkaitan antara satu sama lain. “Saya juga dapat menimba ilmu dengan memerhati dan melihat bagaimana seorang Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan berfikir, berkelakuan dan membuat banyak keputusan. Di FGV inilah saya benar-benar mempelajari erti sebenar integriti dan kepimpinan. Bagi saya, tidak ada kelas MBA di mana-mana pun yang dapat menggantikan “kelas pengalaman”ini,” tambahnya.
Mujahid kini berkhidmat sebagai Ketua Operasi di Felda Travel, anak syarikat di bawah Sektor Logistik dan Sokongan FGV. Dengan pandemik COVID-19 masih belum selesai, tugas tersebut datang dengan cabaran baharu yang hebat dan membuka lebih banyak peluang untuk meningkatkan kemahiran dan memberikan yang terbaik untuk menghasilkan keputusan yang diinginkan.
“Jika saya boleh ringkaskan bahagian terbaik menjadi Scholar FGV dengan satu perkataan, ianya adalah “peluang”. Peluang yang tidak berkesudahan untuk kami terokai dan membuktikan nilai kami kepada syarikat,” ujar Mujahid.