Berperwatakan ceria dan mudah untuk didekati antara sifat yang dimiliki oleh personaliti pilihan ‘Wira FGV’ kali ini.
Mohd Nizam Che Ibrahim, petugas FGV Agri Services Sdn Bhd (FGVAS) di Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak (PPPTR) Jerantut, Pahang merupakan seorang yang mahir mengendalikan aspek pendebungaan pokok kelapa sawit di FGV.

Berkhidmat hampir 15 tahun di FGVAS, kerjaya beliau sebagai juru polinasi atau pendebungaan bagi pokok-pokok sawit memerlukan beliau untuk berada di ladang seawal jam lapan pagi setiap hari, bagi membolehkan tugas-tugas pemeriksaan pokok sawit dijalankan dengan sebaiknya.

“Setiap hari saya dan rakan-rakan lain akan memeriksa antara 20 hingga 23 pokok sawit, bergantung kepada keadaan cuaca. Sebelum melakukan proses pendebungaan ini, biasanya kami perlu memanjat pokok berkenaan terlebih dahulu bagi meninjau sama ada pokok sawit tersebut telah pun mengeluarkan bunga bagi tujuan pendebungaan,” jelas Nizam.

Menurut beliau, terdapat pelbagai jenis agen pendebungaan termasuk agen pendebungaan semulajadi yang dilakukan oleh angin, air dan serangga (kumbang). Namun, berbanding agen semulajadi, kaedah polinasi yang menggunakan bantuan manusia didapati lebih berkesan kerana ukuran dan jumlah buah sawit yang dihasilkan dapat dioptimakan.

“Melalui pendebungaan terkawal, kita dapat memastikan hasil yang baik dan melakukan pembetulan sekiranya terdapat masalah. Setiap tugasan yang dilakukan juga diselia oleh unit kawalan kualiti pendebungaan,” kata beliau.
“Proses pendebungaan ini mencabar kerana harus berhadapan dengan risiko kemalangan seperti terjatuh. Ada kalanya pokok-pokok yang perlu dipolinasi ini agak tinggi khususnya pokok-pokok sawit tua yang boleh mencapai sehingga 50 kaki. Selain itu, ada juga berdepan dengan kejadian mengejut seperti terserempak dengan binatang berbisa seperti ular yang berada di atas pokok, namun semua itu tidak mematahkan semangat kami untuk menjalankan tugas dengan sebaik mungkin,” tambah beliau.

Meskipun tugas-tugas pendebungaan ini berisiko, namun aspek keselamatan sentiasa dititikberatkan agar kejadian kemalangan di tempat kerja dapat dikurangkan. “Sebagai juru pendebungaan, kami perlu sentiasa berhati-hati ketika melakukan tugasan. Langkah-langkah keselamatan ketika berada di atas pokok sentiasa diperhatikan kerana sebarang kesilapan bukan sahaja mengundang padah, malah mungkin boleh mengundang maut.”

Selain tugasan di ladang, Mohd Nizam turut membantu petugas-petugas lain di makmal pada sebelah petangnya. Beliau berasa gembira kerana dapat membantu petugas lain kerana baginya, sikap saling membantu boleh
mengeratkan lagi hubungan sesama rakan sekerja.

Menyentuh pengalaman manis sepanjang kerjaya ini, beliau berkata, “Sepanjang saya berkhidmat di FGV ini, saat paling seronok bagi saya adalah apabila saya diminta untuk melakukan demonstrasi pendebungaan di hadapan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV iaitu Dato’ Haris Fadzilah Hassan, dan juga beberapa orang pengurusan kanan Kumpulan. Itulah kali pertama saya berpeluang mendekati dan berbual secara langsung dengan ‘orang nombor satu’ di FGV dan beliau seorang yang mudah didekati,” mengimbau kembali kenangan beliau pada tahun 2020.

Sebagai petugas Kumpulan FGV dan seorang yang ‘membesar’ dengan hasil ladang, beliau ingin melihat Kumpulan FGV terus berdaya maju seiring dengan syarikat perladangan yang lain.

“Memandangkan zaman sekarang merupakan zaman maklumat di hujung jari, saya berharap agar FGV mengambil peluang ledakan teknologi maklumat terutamanya aplikasi atas talian untuk memperkenalkan produk-produk Kumpulan FGV seperti produk keluaran FGVAS kepada orang ramai. Ini kerana ramai dalam kalangan rakan-rakan dan orang kampung yang berminat untuk mendapatkan produk-produk, tetapi terhad dari segi maklumat yang diperolehi,” jelas Nizam yang juga anak jati kelahiran FELDA Sungai Tekam Utara, Jerantut, Pahang ini.

Tamat