Seawal jam 7.00 pagi beliau telah pun berada di depot FGV Transport Services Sdn Bhd (FGVTSSB) Kuantan untuk melakukan rutin harian memeriksa keselamatan lori, sebelum memulakan perjalanan untuk mengisi muatan di kilang sawit berhampiran.

‘Wira FGV’ kali ini menampilkan Yusof Ismail, seorang pemandu yang mendapat jolokan ‘juruterbang’ di Kumpulan FGV. Menurut Yusof, kerjayanya di bidang ini amat mencabar kerana memerlukan ketahanan fizikal dan mental yang kuat bagi menempoh rutin harian yang panjang berbanding orang lain.

Beliau yang juga merupakan anak kepada salah seorang bekas pemandu lori di depot FGV Transport tidak menyangka bahawa perkhidmatannya kini telah menjangkau 12 tahun sejak tahun 2009 sebagai pemandu kontrak yang bertanggungjawab membawa Minyak Sawit Mentah (MSM) Kumpulan FGV.

Meskipun berstatus pekerja kontrak ketika itu, namun berkat kesungguhan dan dedikasi Yusof dalam menjalankan tugasan harian telah menyebabkan beliau diserapkan terus ke perkhidmatan tetap. Yusof juga turut diberikan pengiktirafan oleh pihak syarikat sebagai salah seorang pemandu lori di FGVTSSB yang bertaraf lima bintang dan telah berjaya mengekalkan prestasi tersebut sehingga kini.

Sesuai dengan pengiktirafan tersebut, beliau diberi peluang untuk memandu model lori terbaharu syarikat iaitu Volvo FMX 440 dan diberi tugasan untuk membawa muatan biodiesel keluaran FGV Biodiesel Sdn Bhd yang terletak di Kuantan. Tugasan ini berbeza daripada membawa muatan MSM, dengan penekanan yang lebih berat terhadap ciri-ciri keselamatan yang diberikan kerana sifat muatan yang mudah terbakar.

Menyentuh pengalaman Yusof di dalam perkhidmatan, saat yang paling sukar untuk dilupakan ialah ketika dapat bersama-sama dengan bapanya bertugas dalam satu pasukan. Bapa beliau banyak memberikan tunjuk ajar serta nasihat berharga terutamanya ketika berhadapan dengan situasi yang di luar jangkaan dan mencabar.

“Pengalaman bermalam di tengah-tengah hutan yang sunyi ketika kenderaan mengalami kerosakan amat sukar dilupakan. Namun, bapa pernah mengajar saya agar sentiasa tenang dalam apa jua keadaan. Yang paling penting adalah memastikan keselamatan kenderaan dan muatan yang dibawa sebelum mendapatkan bantuan mekanik dari depot,” jelas Yusof.

Walaupun berstatus pemandu cemerlang, beliau sentiasa bersikap merendah diri dan tidak akan sesekali
mempertikaikan kemampuan pemandu lain. Beliau percaya sikap saling menghormati orang lain bukan sahaja nilai yang murni, malah mampu mengekalkan perhubungan yang harmoni dalam kalangan rakan setugas dan pengurusan.

Menyentuh harapan masa hadapan, Yusof berharap pihak syarikat dapat meneruskan lagi siri latihan kepada para pemandu dalam memantapkan lagi pengetahuan dan kemahiran mereka.

“Saban tahun, teknologi semakin berkembang dan ini tidak terkecuali dalam industri pengangkutan terutamanya pengeluar-pengeluar lori yang sudah pun menaiktaraf teknologi mereka. Dengan adanya latihan berterusan, kami akan dapat mempelajari perkara baharu agar seiring dengan kemajuan teknologi masa kini, bagi memudahkan urusan penyampaian perkhidmatan di masa hadapan,” tambah beliau yang juga berharap FGV terus menempa kejayaan di masa akan datang.