FGV LAHIR 49 USAHAWAN MUDA INDUSTRI KELAPA SAWIT

Seramai 49 usahawan muda menamatkan pengajian daripada Program Usahawan Muda FGV 2018 pada 7 November 2018. Program yang dibangunkan dan dilaksanakan oleh FGV Holdings Berhad, telah direka untuk melengkapkan generasi baharu FELDA dengan kemahiran yang diperlukan dalam industri perladangan. FGV juga telah memperuntukkan kontrak-kontrak bernilai RM2.5 juta daripada bajet perolehan tahunannya untuk diberikan kepada usahawan muda ini bagi memulakan langkah di dalam dunia perniagaan.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Interim FGV Datuk Wira Azhar Abdul Hamid berkata, “Melalui program ini, kami berharap dapat melahirkan kumpulan usahawan baharu yang mahir dan berpengetahuan tentang industri perladangan. Dengan latihan yang telah dilalui, usahawan muda ini mampu untuk melaksanakan sebahagian tugasan yang sering diberikan kepada pihak ketiga”

Selain daripada kemahiran yang diperlukan untuk bekerja di dalam industri perladangan, para  graduan muda juga diajar asas pengurusan perniagaan di Akademi FGV. Di samping itu, mereka juga telah dididik mengenai keperluan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) dan standard Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) untuk pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Program ini telah dilancarkan pada bulan April yang lalu dan menarik kira-kira 300 permohonan dari seluruh negara. Seramai 60 peserta telah dipilih untuk menjalani latihan di ladang FGV, hanya 49 peserta berjaya menyempurnakan program yang berjalan selama enam bulan.

Para pelatih telah diajar untuk mengendalikan bahan kimia dan bahan berbahaya yang biasa digunakan untuk merumput, dan membaja. Di ladang yang diurus dengan baik, mereka diajar mengenai proses-proses daripada mengendalikan ladang untuk menuai dan mengangkut buah tandan segar (BTS) ke kilang. Setiap pelatih ditugaskan kepada pengurus ladang yang menjadi mentor mereka.

Kos program selama enam bulan ditanggung sepenuhnya oleh FGV dan setiap peserta menerima elaun bulanan sebanyak RM1,150.

Di akhir program ini, FGV telah membantu para peserta meneroka peluang pembiayaan perniagaan daripada MARA, TEKUN Nasional dan Agrobank. Para usahawan muda kemudiannya berpeluang menubuhkan syarikat secara berkumpulan atau individu dan mereka juga boleh mendapatkan tender daripada syarikat-syarikat lain.

“Kami merancang untuk menjadikan program ini sebahagian daripada komitmen Tanggungjawab Korporat (CR) kami untuk memberi lebih banyak peluang kepada komuniti setempat, terutamanya yang kurang berkemampuan. FGV komited untuk melahirkan lebih ramai usahawan muda yang lebih berkemahiran untuk industri perladangan,” tambah Azhar.

***Tamat***