FGV Catat Kerugian Sebanyak RM911 juta, Termasuk Rosot Nilai Sebanyak RM788 juta

KUALA LUMPUR, 28 NOVEMBER 2018 – FGV Holdings Berhad (FGV) mencatatkan kerugian sebelum zakat dan cukai (LBZT) sebanyak RM911 juta untuk suku ketiga berakhir September 2018. Kerugian ini termasuk rosot nilai berjumlah RM788 juta. Jika tidak termasuk rosot nilai ini, LBZT adalah sebanyak RM123 juta, berbanding untung sebelum zakat dan cukai sebanyak RM118 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu.

FGV mencatatkan perolehan sebanyak RM3.19 bilion berbanding RM4.14 bilion pada suku sama tahun lalu.

Bagi suku tahun yang disemak, Sektor Perladangan mencatatkan kerugian sebanyak RM849.8 juta berbanding untung sebanyak RM132.4 juta pada tempoh yang sama tahun lalu. Prestasi lemah ini disebabkan oleh harga Minyak Sawit Mentah (MSM) yang rendah, rosot nilai terhadap aset tidak ketara bernilai RM562 juta dan hartanah, kilang dan peralatan (PPE) berjumlah RM124 juta. Kerugian yang dikongsi menerusi syarikat kerjasama (JV) juga meningkat kepada RM60 juta. Faktor-faktor ini turut dibebankan dengan margin yang rendah dalam bahagian R&D dan jumlah jualan baja yang rendah.

Purata  harga MSM pada suku yang disemak adalah  RM2,224 per MT, 16% lebih rendah berbanding RM2,665 per MT pada suku sama tahun lalu. Pengeluaran Buah Tandan Segar (BTS) juga menurun 12.2% kepada 1.08 juta MT, berbanding 1.23 juta MT dalam tempoh sama tahun lalu. Kadar Perahan Minyak (OER) mencatatkan peningkatan kepada 20.89% berbanding 19.78%. Kos tidak termasuk kilang pada suku tahun disemak adalah RM1,777 per MT, berbanding RM1,541 per MT pada tempoh sama tahun lalu.

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2018, Kumpulan mencatatkan hasil BTS sebanyak 11.12 MT per hektar, jumlah yang sama dicatatkan untuk tempoh sama tahun lalu.

Sektor Gula mencatatkan keuntungan sebanyak RM22 juta untuk suku yang disemak berbanding RM16 juta bagi tempoh sama tahun lalu, manakala Sektor Logistik dan Perniagaan Sokongan (LSB) mencatatkan kerugian sebanyak RM32 juta berbanding rugi sebanyak RM1 juta pada suku sama tahun lalu. Ini adalah disebabkan rosot nilai belum diterima berjumlah RM57 juta. Sebelum rosot nilai, sektor ini mencatatkan keuntungan sebanyak RM25 juta.

Rosot Nilai Bagi Suku Ketiga 2018

Berdasarkan pematuhan kepada Rosot Nilai Aset MFRS 136 dan Instrumen Kewangan MFRS 9, jumlah rosot nilai Kumpulan adalah RM788 juta.

Senarai rosot nilai Suku Ketiga 2018:

Sektor Kategori Rosot Nilai Jumlah RM juta
Perladangan Hartanah, Kilang & Peralatan) (PPE) 124
Muhibah dan Aset tidak ketara 562
Belum diterima 16
Jumlah tunggakkan daripada JV 11
LSB Belum diterima 57
Gula Belum diterima 1
Lain-lain (Syarikat Pegangan Pelaburan) PPE 16
Pelaburan hartanah 1
JUMLAH 788

  1. Asian Plantation Ltd menyumbang 65% daripada jumlah rosot  nilai Kumpulan iaitu sebanyak RM513 juta

Pada 2014, mengambil alih semua saham biasa Asian Plantation Ltd (APL) pada harga RM567.9 juta menerusi tawaran sukarela bersyarat pada nilai GBP2.20 sesaham, premium sebanyak 294.7% berbanding nilai aset bersih sesaham APL pada 31 Disember 2013. FGV juga menyerap hutang APL berjumlah RM517 juta. Oleh itu, jumlah kos kepada FGV adalah RM1.1 bilion.

Semasa tempoh pengambilalihan berkenaan, APL disenaraikan di Pasaran Pelaburan Alternatif di London Stock Exchange dan ibu pajabatnya terletak di Singapura.

Siasatan forensik yang dijalankan pada Januari 2018 telah selesai. FGV telah memulakan tindakan undang-undang di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap 14 defenden yang merupakan bekas Pengarah dan Petugas FGV. Kumpulan FGV menuntut penyelesaian seperti berikut terhadap Defenden:

  1. Ganti rugi berjumlah RM514 juta di atas kerugian pengambil alihan APL. Secara alternatif, ganti rugi daripada pengambilalihan APL untuk dinilai oleh Mahkamah;
  2. Ganti rugi am;
  3. Faedah pada kadar 5% setahun di atas ganti rugi yang diterima bermula dari tarikh fail saman sehingga tarikh penyelesaian penuh dan dimuktamadkan;
  4. Kos-kos;
  5. Faedah pada kadar 5% setahun di atas jumlah kos yang diterima bermula dari tarikh kos diterima sehingga tarikh penyelesaian penuh dan dimuktamadkan;
  6. Penyelesaian lain dan selanjutnya yang dianggap sesuai dan wajar oleh Mahkamah.
  7. Rosot nilai berjumlah RM53 juta untuk pengambilalihan FGV Cambridge Nanosystems Ltd

 

Pada 2013, FGV Downstream Sdn Bhd (Anak syarikat 100% milik FGV) mengambil alih 70% kepentingan ekuiti dalam FGV Cambridge Nanosystem Limited (FGVCNS), iaitu syarikat yang diperbadankan di United Kingdom dengan tunai berjumlah GBP10 juta (bersamaan RM43.15 juta). Pada tahun berikutnya, FGVCNS mengambil alih Gasplas AS, syarikat yang diperbadankan di Norway dengan nilai RM31.9 juta menerusi bantuan kewangan daripada FGV.

Pelaburan FGV sebanyak GBP10 juta tidak memberi sebarang hasil dan pulangan serta dalam masa yang sama FGV telah menyokong kewangan FGVCNS menerusi pendahuluan dengan jumlah yang dianggarkan sebanyak GBP12 juta sehingga hari ini.

 

  1. Rosot nilai sebanyak RM1.22 juta untuk pengambilalihan dua unit kondominium Troika

Pada 10 Oktober 2014, FGV telah membeli dua unit kondominium di Troika, No.19, Persiaran KLCC, 50450 Kuala Lumpur dengan nilai RM8.42 juta.

Dua unit kondominium Troika ini sebenarnya telah dinilai pada harga RM5.79 juta berdasarkan kepada laporan penilaian bertarikh 28 November 2017, lebih rendah berbanding nilai belian FGV yang dianggarkan RM8.4 juta.

 

  1. Rosot nilai RM102 juta untuk Green Energy

 Pada tahun 2014, menerusi FGV Downstream Sdn Bhd, iaitu anak syarikat 100% milik FGV, telah menandatangani Perjanjian Pemegang Saham untuk memegang 60% kepentingan di dalam syarikat yang dikenali sebagai FGV Green Energy Sdn Bhd (FGVGE). M2 Capital Sdn Bhd memegang 20% ekuiti manakala baki 20% lagi dipegang oleh Benefuel International Holdings S.A.R.L. FGVGE mengambil alih kilang biodiesel yang terletak di Pelabuhan Kuantan daripada Mission Biofuels Sdn Bhd (Kilang M2) pada harga ASD22.50 juta.

Kesan ketidakmampuan menjalankan operasi dan juga kebolehpulihan kilang yang lebih rendah daripada nilai yang dibawa, oleh itu rosot nilai sebanyak RM102 juta telah diiktiraf.

 

Pelan Transformasi

Sejak 12 bulan yang lalu, terdapat beberapa perubahan telah dilaksanakan di FGV. Lembaga Pengarah kini terdiri di kalangan pakar-pakar industri selain pakar di dalam bidang-bidang berkaitan.

Lembaga Pengarah juga sedang dalam proses melantik calon-calon baharu untuk pelbagai jawatan utama di dalam Syarikat. Menerusi barisan kepimpinan yang baharu, Lembaga Pengarah yakin FGV mampu bangkit kembali.

Pada Oktober lepas, FGV telah melaksanakan Pelan Transformasi. Beberapa bahagian penambahbaikan telah diberikan keutamaan dan serentak dengan itu, semua petugas telah berusaha mengembalikan itegriti di operasi perladangan.

Sehingga kini, hampir suku ladang-ladang FGV telah mencapai atau melebihi sasaran yang ditetapkan berdasarkan kepada pelbagai faktor yang meliputi profil umur pokok serta potensi hasil kawasan. Lebih 20% jurang telah berjaya dikurangkan dan kini di tahap 90% daripada keseluruhan sasaran.

“Kini kami telah menyaksikan petanda awal pemulihan dan petugas sedang berusaha keras untuk memperbaiki keadaan”, jelas Datuk Wira Azhar Abdul Hamid, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Interim FGV.

Antara langkah-langkah pelan pemulihan segera yang diambil dalam tempoh 3 – 6 bulan ini termasuklah mengkaji semula proses-proses penuaian, pelaksanaan dan lojistik kepada:

  • Meningkatkan pelaksanaan sistem blok penuaian dan amalan Perladangan terbaik;
  • Meningkatkan faktor utilisasi kilang bagi mengurangkan kos dan memperbaiki kecekapan; serta
  • Memperbaiki kualiti

FGV akan terus memberikan tumpuan dalam memperbaiki profil umur pokok, di mana ketika disenaraikan dahulu, FGV antara yang terburuk di dalam industri dengan 53% pokok-pokok diklasifikasikan sebagai “pokok tua”.

“Ini komitmen yang melibatkan kos yang tinggi, tetapi kita tiada pilihan. Pokok-pokok tua mesti ditanam semula”, jelas Azhar.

FGV juga telah mengenalpasti 11 pelaburan bukan teras untuk dilupuskan pada masa hadapan. Ini membolehkan pengurusan memberi tumpuan terhadap operasi teras bagi mencipta serta menghasilkan nilai yang lebih baik kepada para pemegang saham.

Sementara itu, Kumpulan menjangkakan tahun 2018 adalah kelam, namun telah terdapat tanda-tanda pemulihan operasi yang positif. “Dengan langkah-langkah di atas, kami menyasarkan pencapaian huluan yang lebih baik iaitu sebanyak 20 MT per hektar dan mengurangkan lagi kos tidak termasuk kilang kepada RM1,600 pada tahun 2019”, tambah Azhar.

-tamat-